Industri angkasa disasar sumbang 0.3 peratus kepada KDNK

Khairy - Foto Bernama
Khairy - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi berharap sektor angkasa negara akan menyumbang sekurang-kurangnya 0.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mewujudkan 500 pekerja berkemahiran tinggi menjelang 2030 menerusi Dasar Angkasa Negara (NSP) 2030.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pembangunan satelit buatan negara di bawah Program Satelit Penderiaan Jauh Negara merupakan antara inisiatif utama di bawah NSP 2030.

Beliau berkata, inisiatif lain ialah pengukuhan Fasiliti Pemasangan, Integrasi, Pengujian (AIT) di Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dalam usaha menjadi hab bagi perkhidmatan mengukur dan menguji satelit untuk kedua-dua industri angkasa dan komersial.

Selain itu, menggalakkan kerjasama antarabangsa dalam membangunkan teknologi sains angkasa dengan visi menghantar prob angkasa lepas tanpa pengemudi dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi angkasa di Malaysia juga merupakan antara inisiatif dasar itu, katanya pada webinar ‘Airbus Malaysia Connect’ di sini pada Khamis.

Khairy berkata demikian pada sesi bertajuk ‘Malaysia and the Final Frontier-Space’ yang dikendalikan oleh ahli astrofizik pertama negara, Profesor Datuk Dr Mazlan Othman.

Menurutnya, Malaysia menerima guna NSP 2030 pada tahun 2017 dengan merealisasikan potensi sektor angkasa untuk ekonomi Malaysia dan pembangunan negara ini.

Beliau menjelaskan, teknologi angkasa termasuk satelit penderiaan jauh, telekomunikasi dan navigasi menyediakan penyelesaian meluas terhadap isu tempatan dan global semasa seperti berkaitan pendidikan, sekuriti makanan, pertanian, tenaga, pengurusan bencana dan kesihatan, termasuk melawan pandemik Covid-19.

Katanya, Malaysia berhasrat memanfaatkan sepenuhnya ekonomi angkasa yang sedang berkembang.

Artikel Berkaitan:

Acara maya sehari itu dianjurkan oleh Airbus di Malaysia bagi membincangkan perubahan pasaran aeroangkasa di Malaysia. - Bernama