Bantuan khas Aidilfitri: Cuepacs yakin dapat bantu ekonomi negara

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik langkah kerajaan memberikan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada penjawat awam dan pesara kerajaan.

Presidennya, Adnan Mat berkata, pemberian tersebut merupakan suatu penghargaan kepada kesemua penjawat awam yang bertungkus-lumus menguruskan pentadbiran kerajaan ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Kesemua penjawat awam tidak kira sama ada yang bekerja di barisan hadapan, barisan kedua ataupun yang bekerja daripada rumah kekal menjalankan tugas seperti biasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pada masa sama, kita juga adalah ejen ataupun penggerak utama yang mendukung usaha untuk memulihkan ekonomi negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Adnan turut berharap supaya seluruh penjawat awam dapat meneruskan momentum kecemerlangan dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi menjayakan agenda pemulihan ekonomi serta dasar prihatin rakyat.

Pada Khamis, kerajaan bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk kakitangan perkhidmatan kontrak, pegawai sambilan harian serta lantikan di bawah MySTEP.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, pesara kerajaan juga akan menerima bantuan sebanyak RM250.

Sementara itu, Adnan berkata, beliau yakin pemberian bantuan khas kewangan itu secara tidak langsung akan turut memberi impak positif kepada ekonomi rakyat dan negara apabila wang tersebut kembali beredar ke dalam pasaran.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun pada asasnya kerajaan umum bantuan kepada penjawat awam Gred 52 dan ke bawah, tetapi bantuan kewangan tersebut sudah pasti akan dibelanjakan untuk membeli barangan keperluan.

“Ini pastinya akan memanfaatkan peniaga kecil yang berniaga di bazar, pasar raya besar yang menjual pakaian hari raya dan sektor ekonomi yang lain,” katanya.