Letupan gegar kawasan pakir lokasi debat presiden

No Image Caption
A
A
A

JAKARTA - Satu letupan berlaku di kawasan parkir, yang terletak tidak jauh dari Hotel Sultan di Jakarta, tempat berlangsungnya Debat Pemilihan Presiden (Pilpres) Indonesia 2019.

Letupan yang belum disahkan puncanya oleh pihak berkuasa itu, menyebabkan orang ramai yang terdiri daripada para penyokong Joko Widodo yang akan mempertahankan jawatannya pada Pilpres 2019, dan para penyokong seorang lagi calon Pilpres, Prabowo Subianto, yang berkumpul di kawasan itu, bertempiaran lari.

Debat Pilpres pusingan kedua berlangsung di Hotel Sultan bermula jam 8 malam itu terletak kira-kira 300 meter kawasan letupan itu, tetap berlangsung seperti biasa selepas letupan itu berlaku kira-kira jam 8.15 malam.

Menurut seorang saksi yang dipetik oleh media tempatan yang hanya dikenali sebagai "Panji", beliau melihat seorang individu yang berada dalam sebuah kenderaan, melemparkan sesuatu ke kawasan parkir itu sebelum berlaku letupan.

Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Pihak polis juga telah menutup laluan di kawasan parkir yang terletak di kawasan Stadium Gelora Bung Karno itu.

Setakat ini belum ada sebarang kenyataan daripada pihak polis, manakala Debat Pilpres (setakat jam 9.50 malam waktu Indonesia Barat) masih berlangsung setakat ini.

Debat Pilpres yang dimulakan pada tahun 2004 ketika era pemerintahan Presiden Megawati Soekarnoputri, diteruskan sehingga kini, bagi membolehkan calon-calon presiden menjelaskan visi dan misi mereka.

Artikel Berkaitan:

Debat Pilpres 2019 akan berlangsung sebanyak lima pusingan, pusingan pertama berlangsung pada 17 Januari lepas, manakala debat pusingan ketiga pada 17 Mac, keempat (30 Mac) dan kelima(belum ditentukan tarikhnya).

Pilpres Indonesia akan berlangsung pada 17 April 2019, menampilkan calon Joko dan Prabowo yang bakal ditentukan lebih 190 juta pengundi. - Bernama