X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan perlu beri penjelasan

Charles Santiago
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu menjelaskan mengapa peruntukan Belanjawan 2021 sebanyak RM3 bilion tidak mencukupi bagi membeli, menyimpan dan mengedarkan vaksin Covid-19.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar bersikap terbuka dan telus dalam pentadbirannya terutama soal menggunakan dana berkepentingan umum.

“Saya harap ada pemeriksaan umum terhadap perbelanjaan yang dijalankan ini. Penggunaan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) menimbulkan pelbagai persoalan. Pertama ia akan menjejaskan pelaburan bagi melindungi generasi akan datang.

“Kedua, dana ini dikhaskan bagi tujuan masa depan dan mengapa perlu menggunakannya sekarang.

"Ketiga, adakah kerajaan kekurangan dana sehingga menyebabkan mereka perlu menggunakan dana berkenaan?” soal beliau dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kerajaan pada Rabu mewartakan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021 yang membolehkan kerajaan menggunakan dana kumpulan wang itu untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi kebangsaan.

Mengikut Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988, dana itu dibayar melalui Kumpulan Wang Disatukan dan Petronas.

Menurut Seksyen 5 (c) akta itu, sumbangan boleh dibuat oleh mana-mana negeri di Malaysia yang mendapat royalti daripada petroleum dan sumber alam lain yang akan habis.

Sementara itu, Santiago turut mencadangkan agar kerajaan membawa anggaran tambahan bagi mendapatkan vaksin menerusi Dewan Rakyat agar ia dipantau oleh Parlimen.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!