Jadi pengguna bijak, buat aduan di saluran tepat

Veerapan (dua dari kanan) dan Ain Arjuna (tiga dari kanan) ketika meninjau harga barangan sekitar Econsave Lukut, Port Dickson pada Khamis.
Veerapan (dua dari kanan) dan Ain Arjuna (tiga dari kanan) ketika meninjau harga barangan sekitar Econsave Lukut, Port Dickson pada Khamis.
A
A
A

PORT DICKSON - Orang ramai perlu menjadi pengguna bijak dan bertanggungjawab dengan menyalurkan aduan di saluran yang tepat dan bukannya membuat 'bising' di media sosial.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, sejak kebelakangan ini pihaknya menerima banyak rungutan dan desas- desus berhubung kenaikan harga barang.

"Kami mengalu-alukan aduan daripada pengguna sejak dari dahulu yang mana kita mahu mereka sendiri tampil membuat aduan bukannya di media sosial.

"Terdapat lapan saluran yang boleh mereka kemukakan salah satunya menerusi aplikasi WhatsApp," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 peringkat Negeri Sembilan di Pasaraya Econsave Lukut, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan.

Ain Arjuna berkata, sejak 1 Januari hingga 20 April lalu, KPDNHEP Negeri Sembilan menerima 309 aduan melibatkan pelbagai kes tetapi hanya satu berkaitan aduan kenaikan harga ayam.

"Kalau ada kenaikan harga barangan contohnya harga ayam, mereka perlu adukan dengan lengkap iaitu maklumat pengadu, lokasi jualan, masa dan tarikh," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ain Arjuna berkata, tindakan penguatkuasaan telah dikenakan terhadap empat orang pembekal ayam dalam satu operasi bermula 15 April sehingga Khamis.

Artikel Berkaitan:

"Notis bertulis itu dikeluarkan berdasarkan Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan (AKHAP) 2011. Kesemua notis yang diserahkan akan diteliti dan dianalisis di dalam siasatan lanjut setelah menerima makluman balas daripada pihak syarikat berkenaan," katanya.

Ain Arjuna berkata, satu aduan telah diterima oleh pihaknya berkenaan harga ayam pada 18 April lepas di mana hasil siasatan dan pemeriksaan di tempat aduan iaitu Pasar Raya Nilai mendapati harga jualan bagi ayam standard (satu kilogram) adalah RM6.49.

"Pengguna keliru di mana aduan yang dibuat oleh pengadu merupakan harga bagi ayam super (satu kilogram) iaitu RM9.90. Berdasarkan semakan dokumen, ayam super mula dijual pada awal bulan Ramadan untuk mengimbangi permintan yang meningkat oleh pengguna," katanya.

Ayam standard adalah ayam disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya manakala ayam super yang disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal.