Mabopa umum pemenang ABM2020

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) mengumumkan pemenang bagi 14 kategori yang dipertandingkan dalam Anugerah Buku Malaysia (ABM2020).

Mabopa berkata, penganjuran ABM2020 kali ini menerima sebanyak 522 pencalonan daripada 99 penerbit bagi kesemua kategori yang diadakan.

“Mabopa mengucapkan tahniah kepada pemenang-pemenang ABM2020 yang telah diumumkan pada 21 April 2021 (Rabu) melalui platform YouTube.

“Terima kasih kepada semua penerbit yang telah menyertai anugerah buku kali ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Buku Peneka Silang Kata: Kumpulan Puisi T Alias Taib oleh Penerbitan Kata Pilar (M) Sdn Bhd memenangi hadiah kategori Anugerah Buku Sastera, manakala buku bertajuk Tun M dan Saya terbitan merangkul Sasbadi Sdn Bhd (Anugerah Buku Bukan Fiksyen).

Pemenang lain ialah buku bertajuk Ke Mana MIAU Pergi? Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (Anugerah Buku Kanak-Kanak Usia Awal 2- 8 tahun); Ultra Qalif x Silat Boy #1: Liga Rahsia, PTS Media Group Sdn Bhd (Anugerah Visual Buku Terbaik) dan Anak-Anak di Lorong Kami, IIUM Press (Anugerah Buku Terjemahan).

Sementara itu, kategori Anugerah Buku Pendidikan Sekolah (Rendah dan Menengah) dimenangi oleh Buku Teks Sains Tingkatan 5 KSSM, Sasbadi Sdn Bhd; Destar Alam Melayu (Asal-Usul, Sejarah Dan Penggunaan), Akademi Seni Tradisional Warisan Melayu dan Kebijaksanaan Pemerintahan Sultan Melaka 1446-1488 oleh Mohd Khalil Yaakob, Dewan Bahasa dan Pustaka (Anugerah Buku Pemimpin Negara Semasa).

Untuk Anugerah Buku Bahasa Inggeris, ia dimenangi oleh buku bertajuk Malchin Testament: Malaysian Poems, Maya Press Sdn Bhd; Kekurangan Pengetahuan Perubatan, Amat Menakutkan, Big Tree Publications Sdn Bhd (Anugerah Buku Bahasa Cina), manakala kategori Anugerah Buku Bahasa Tamil pula tiada pemenang kerana ketiadaan calon yang menepati peraturan kelayakan.

Artikel Berkaitan:

Bagi ABM2020 kali ini, Mabopa berkata, sekurang-kurangnya lima pencalonan telah dipilih dalam senarai pendek bagi setiap kategori dengan penilaian daripada segi judul buku, kulit buku, fakta, gaya bahasa dan struktur teks, konsistensi, unsur visual, kreativiti, keaslian dan kemasan.

Dalam pada itu, Mabopa turut melahirkan penghargaan kepada Ibu Kota Buku Malaysia (KLWBC2020) selaku urus setia dan penaja utama ABM2020 serta Xentral Method Sdn Bhd yang merupakan rakan teknologi bagi pelaksanaan anugerah tersebut.

Penganjuran ABBM2020 dilakukan bagi memberi pengiktirafan kepada pemain dalam industri penerbitan Malaysia merangkumi penerbitan bercetak dan digital.

Selain itu, ABM2020 juga menjadi platform untuk membina gabungan jalinan kesefahaman dan kerjasama antara pemain industri penerbitan dan pada masa sama menarik sokongan pihak kerajaan dan industri-industri sokongan dalam penerbitan buku.

Buku pemenang ABM2020 boleh mendapatkannya melalui pembelian di E-Sentral dalam format e-book, manakala bagi format bercetak pula, ia boleh didapatkan melalui penerbit buku berkenaan.