MMC wakili Malaysia dapatkan pengiktirafan WFME: Dr Adham

Dr Adham - Foto Bernama
Dr Adham - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Majlis Perubatan Malaysia (MMC) akan mewakili Malaysia bagi mendapatkan status pengiktirafan Persekutuan Sedunia bagi Pendidikan Perubatan (WFME), kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, perkara itu dipersetujui mesyuarat Jemaah Menteri susulan pengumuman Suruhanjaya Pendidikan bagi Graduan Perubatan Asing (ECFMG) pada 21 September 2010 bahawa bagi tujuan menduduki Peperiksaan Pelesenan Perubatan Amerika Syarikat (USLIME) hanya diberikan kepada graduan perubatan daripada negara yang diiktiraf oleh WFME mulai 2023.

Menurutnya, graduan perubatan daripada 35 program perubatan prasiswazah tempatan yang telah diakreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) tidak akan berpeluang menimba pengalaman klinikal termaju di Amerika Syarikat jika Malaysia tidak tersenarai dalam program pengiktirafan WFME.

"Pengiktirafan WFME itu kelak akan menjadikan program-program perubatan Malaysia setaraf dengan piawaian antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, langkah itu juga membolehkan perkongsian pengetahuan dan maklumat MPM dan MQA bersama panel WFME dalam konteks penjagaan kualiti pendidikan perubatan dan melonjakkan Malaysia sebagai hab pendidikan perubatan Asia Tenggara.

"Pengiktirafan WFME seterusnya akan secara langsung meningkatkan kebolehpasaran graduan yang telah didaftar oleh MPM," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: