Tiga tonggak utama KDA FC kembali

Tonggak pertahanan KDA FC, Renan (kiri) turun menjalani latihan bersama pasukan di Stadium Suka Menanti pada malam Rabu. -Foto: KDA FC
Tonggak pertahanan KDA FC, Renan (kiri) turun menjalani latihan bersama pasukan di Stadium Suka Menanti pada malam Rabu. -Foto: KDA FC
A
A
A

TIGA tonggak utama HIjau Kuning iaitu Renan Alves, Mohd Syazwan Zainon dan Mohd Rizal Ghazali sudah kembali menjalani latihan bersama pasukan selepas bebas daripada masalah kecederaan yang dihadapi mereka.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak yang melihatnya sebagai perkara positif walaupun penyerang utama mereka, Kpah Sherman tidak dapat beraksi menentang Kuala Lumpur (KL) City FC pada Jumaat ini kerana mengutip tiga kad kuning berturut-turut sebelum ini.

Menurutnya, kehadiran ketiga-tiga pemain tersebut menjadi motivasi terbaik dalam memburu tiga mata di Stadium Darul Aman bagi aksi ke-10 Liga Super 2021.

"Dengan apa yang kita rancangkan dan analisis tentang kelebihan dan kelemahan lawan, kita akan memberikan aksi yang terbaik dalam perlawanan itu nanti," katanya ketika ditemui pemberita sebelum sesi latihan di Stadium Suka Menanti, dekat sini pada malam Rabu.

Mengulas lanjut, Aidil Sharin berkata, beliau mengakui faktor pemain utamanya yang silih berganti memasuki senarai kecederaan termasuk digantung memberi ruang kepada pemain simpanan untuk menempatkan diri dalam kesebelasan utama pasukan.

Menurutnya, ketiadaan pemain tonggak seolah-olah sudah menjadi satu perkara lumrah kepada KDA FC, namun masih ramai lagi pemain yang mampu menggalas tugas berkenaan.

"Kita tidak bimbang dengan ketiadaan Kpah kerana masih ada lagi pemain lain seperti Thetche Kipre yang boleh berada di posisi itu. Kita sudah biasa dengan ketiadaan pemain-pemain utama ini," ujarnya.

Aidil Sharin berkata, beliau berharap pemain-pemainnya akan dapat mengawal perlawanan dengan cara mereka sendiri semasa bertemu KL City FC nanti.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini, kita berdepan dua kekalahan tetapi dari sudut positif ada kebaikan juga kerana pemain akan bekerja dengan lebih keras untuk mengumpul tiga mata untuk pasukan,” katanya lagi.