Penyalahgunaan kuasa: Polis didesak siasat dakwaan Hamid

Ayat FB: Laporan itu merujuk secara spesifik kes yang melibatkan dirinya di bawah Akta Perhimpunan Aman berhubung Himpunan Black 505, pada 2013.

Nik Nazmi (tengah) memegang laporan polis yang dibuat di IPD Dang Wangi hari ini
Nik Nazmi (tengah) memegang laporan polis yang dibuat di IPD Dang Wangi hari ini
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu laporan polis dibuat Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung dakwaan salah laku hakim-hakim kanan dan Kerajaan BN yang didedahkan dalam afidavit Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.

Menurutnya, laporan itu merujuk secara spesifik kes yang melibatkan dirinya di bawah Akta Perhimpunan Aman berhubung Himpunan Black 505, pada 2013.

“Saya rujuk kepada kes saya secara spesifik kerana ada dalam perenggan 86 ke 90 afidavit tersebut, Hamid memaklumkan tentang kes Himpunan Black 505.

“Jadi, saya rujuk kepada perkara itu dan sekarang baru masuk akal apabila berkali-kali saya didakwa walaupun saya telah dibebaskan serta cubaan untuk menghalang pimpinan pembangkang (PH) ketika itu untuk bertanding pilihan raya,” katanya kepada media di luar IPD Dang Wangi.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, pihaknya bersetuju agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap dakwaan mengenai salah laku hakim-hakim kanan ini.

"Bagi saya cadangan penubuhan RCI ini perlu dibuat serta merta kerana ini bukan lagi soal parti tetapi soal keadilan.

"Penubuhan RCI untuk menyiasat dakwaan ini sangat penting supaya masyarakat kembali yakin dan percaya kepada sistem kehakiman negara kita," katanya.

Nik Nazmi memberitahu, dalam masa yang sama beliau membuat gesaan agar pihak berkuasa sendiri ambil serius dan menyiasat sebarang salah laku kerana ini berkaitan dengan sistem kehakiman negara.

Artikel Berkaitan:

"Masyarakat perlu ada keyakinan bahawa sistem kehakiman kita benar dan tidak ada berlaku permainan politik seperti ini.

"Prinsip asas kepada kebebasan kehakiman telah dirosakkan. Sekian lama kita tahu, tapi ini adalah pendedahan besar oleh seorang yang berada di dalam Mahkamah Rayuan," katanya lagi.

Hakim Hamid, dalam afidavitnya setebal 63 muka surat Khamis lalu mendedahkan butiran yang mengejutkan mengenai beberapa kejadian campur tangan hakim dalam badan kehakiman di Malaysia.

Beliau juga seperti dilaporkan media bersedia untuk mendedahkan lebih lanjut tentang perkara itu jika sebuah RCI dibentuk untuk menyiasat perkara itu.