X

Kindly register in order to view this article
!

Maritim tahan empat bot, rampas 80 set bubu naga

Sebahagian bot nelayan yang ditahan kira-kira 1.0 batu nautika barat daya Sungai Tengkorak, Tanjong Karang awal pagi Rabu.
A
A

TANJONG KARANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Negeri Selangor menahan empat bot, sembilan kru dan merampas 80 set bubu naga kira-kira 1.0 batu nautika barat daya Sungai Tengkorak, Tanjong Karang awal pagi Rabu.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, semua bot ditahan secara berasingan semasa pihaknya melaksanakan 'Op Ehsan' dengan kaedah penyamaran di sekitar Perairan Kuala Selangor pada jam 6 hingga 10 pagi.

Berikutan penyamaran itu katanya, anggota penguat kuasa mengesan empat bot berserta sembilan kru sedang melakukan aktiviti perikanan dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan mendapati kesemua bot ini sedang melakukan aktiviti penangkapan ikan menggunakan bubu naga yang mana setiap bot tersebut memuatkan kira-kira 20 set bubu naga dan kesemua dirampas dengan anggaran nilai RM6, 400," katanya.

Mohd Rosli memberitahu, seramai sembilan kru yang ditahan terdiri daripada dua kru warga tempatan, enam kru warga Myanmar dan seorang kru warga Indonesia berumur sekitar 20 hingga 50 tahun.

Tegas beliau, semua bot, kru dan peralatan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan.

"Penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain," katanya.

Jika terdapat sebarang aduan dan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, sila hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 yang beroperasi secara 24 jam atau talian kecemasan MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!