Pemandu kereta lawan arus meninggal dunia

Kemalangan di Lebuhraya BORR pada 14 April lalu yang membabitkan dua buah kereta dan sebuah motosikal.
Kemalangan di Lebuhraya BORR pada 14 April lalu yang membabitkan dua buah kereta dan sebuah motosikal.
A
A
A

KEPALA BATAS - Pemandu kereta jenis Honda City yang melawan arus dalam kejadian kemalangan pada 14 April lalu disahkan meninggal dunia pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, Lim Song Joo, 43, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya pada jam 12.30 tengah malam.

Menurutnya, Song Joo adalah individu kedua yang meninggal dunia dalam kejadian tersebut selepas isteri kepada pemandu kereta Corolla Altis meninggal dunia lima hari lalu di hospital sama.

"Bedah siasat yang dijalankan pada jam 9.20 pagi tadi (Khamis) mengesahkan mangsa meninggal dunia kerana kecederaan parah selain kegagalan organ dalaman kerana kemalangan jalan raya.

"Sementara itu, pemandu Corolla Altis yang berusia 35 tahun masih dirawat di Hospital Island di Georgetown dan dilaporkan stabil, manakala anaknya berusia tiga tahun sudah dibenarkan pulang," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua pemandu parah dalam kejadian lawan arus

Sebelum ini, dua pemandu kereta parah dan tidak sedarkan diri selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini pada jam 8.20 malam, 14 April lalu.

Noorzainy berkata, siasatan awal mendapati, kejadian melibatkan dua buah kereta dan sebuah motosikal itu berpunca daripada salah sebuah daripada kereta terlibat dikatakan telah melawan arus.

Tambahnya, kejadian yang berlaku di Kilometer 13.0 BORR arah Bagan Ajam itu melibatkan kereta jenis Corolla Altis, Honda City dan motosikal Benelli Leoncino.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kemalangan berpunca selepas pemandu Honda City dari arah Bagan Ajam menghala ke Sungai Dua telah memandu melawan arus.

Susulan daripada pelanggaran itu, dua pemandu kereta parah dan tidak sedarkan diri, namun penunggang motosikal serta pembonceng tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.