X

Kindly register in order to view this article
!

400,000 hektar kawasan sawit seluruh negara berpotensi tanam kenaf

Mohd Khairuddin (tiga, kanan) ketika meninjau tanaman kenaf di Ladang Rakyat Kenaf Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) di Lambor pada Khamis.
A
A

PARIT - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengenal pasti sekurang-kurangnya 400,000 hektar kawasan sawit di seluruh negara berpotensi diusahakan dengan penanaman kenaf secara integrasi.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, sasaran itu mengambil kira 1.5 juta hektar ladang kelapa sawit daripada keseluruhan 6.5 juta hektar yang terlibat dalam program penanaman semula.

"Nisbah keluasan tanaman kelapa sawit berbanding kenaf adalah 4:1 (hektar), maka dengan konsep itu, kawasan yang ada kita boleh gunakan untuk tujuan penanaman kenaf secara berselang seli, secara integrasi dengan tanaman sawit.

"Tanaman kenaf ini sesuai diusahakan ketika sawit dalam proses pembesaran, sekitar dua tahun. Dari situ kita sudah ada peluang yang menjangkau ke satu angka besar sehingga 400,000 hektar tanaman kenaf yang boleh disediakan kerajaan untuk memenuhi keperluan industri ini pada masa akan datang," katanya pada sidang akhbar sempena Lawatan dan Gimik Penuaian Kenaf di Ladang Rakyat Kenaf Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) di Lambor, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pengarah Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Idris Mohd Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahya dan Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria.

Mohd Khairuddin berkata, kerajaan pada ketika ini berdepan dengan bekalan kenaf yang tidak mencukupi sedangkan permintaan pasaran luar adalah tinggi terutama bagi kegunaan pembuatan tilam, makanan binatang dan tujuan teknologi binaan yang dikenali sebagai Kenaf Building System (KBS).

Katanya, setiap hektar tanaman kenaf di negara ini boleh menghasilkan sekitar 10 tan bekalan kenaf dan kementerian sendiri menyasarkan penghasilan 20,000 tan tahun ini berbanding 10,000 tan tahun sebelumnya.

"Bayangkan dengan keluasan 400,000 hentar yang kita kenal pasti itu, sudah ada pengeluaran 4 juta tan kenaf... itu jumlah yang sangat besar," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyambut baik cadangan PPPNP untuk membina kilang pemprosesan kenaf di tapak ladangnya di Lambor.

Menurutnya, pemprosesan kenaf setakat ini dilakukan di kilang yang beroperasi di Kelantan, Pahang dan Terangganu.

"Saya sangat mengalu-alukan kesungguhan PPPNP untuk pergi lebih jauh dalam bidang penanaman kenaf ini.

"Bagi cadangan ini, saya telah mengarahkan Ketua Pengarah (LTKN) membuat proposal untuk kita lihat usahasama yang boleh kita lakukan antara kementerian dengan kerajaan Perak," katanya.

Ladang Rakyat Kenaf PPPNP Lambor adalah projek perintis usahasama antara PPPNP dengan LKTN di tanah milik perbadanan itu seluas 563 hektar.

Dianggarkan tanaman kenaf seluas 140 hektar dapat ditanam dalam satu-satu masa dan sehingga kini, seluas 60 hektar telah diperuntukkan bagi penanaman kenaf secara berperingkat melibatkan 30 pekebun kecil dengan hasil keseluruhan projek RM240,000 semusim.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!