Bayi maut: Pisau terkena jantung

Supian Samsuri, 42, memangku jenazah anaknya, Nur Qhaisara Medina, 2, di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, hari ini. - Foto Bernama
A
A

IPOH - Hasil bedah siasat ke atas kanak-kanak yang maut akibat tertikam pisau mendapati objek tajam itu terkena jantung mangsa.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, terdapat organ lain yang turut terkena tusukan objek tajam di bahagian abdomen kiri seperti perut dan hati.

Katanya, semasa bedah siasat dijalankan, terdapat darah beku di bahagian atas dada sebelah kanan disebabkan pendarahan berlebihan akibat luka tikaman tersebut.

"Pemeriksaan pada anggota badan mangsa mendapati tiada sebarang kecederaan lain atau luka yang berunsurkan perlakuan jenayah.

"Bagaimanapun siasatan masih dijalankan dan kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Terdahulu, seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia akibat tertusuk pisau di rumahnya di Teluk Pial Baroh, Kuala Kurau, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak maut tertusuk pisau

Mangsa, Nur Qaisara Medina, 2, disahkan meninggal dunia di Hospital Parit Buntar sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, kanak-kanak tersebut terpijak pinggan sebelum pisau sepanjang kira-kira 15cm yang berada di dalam pinggan tersebut tertusuk bahagian kiri perut.