'Jangan aniaya kami'

Kah Woh (tengah) bersama-sama penjaja menunjukkan kenyataan akhbar MBI mengenai isu penjaja di Taman Ipoh Timur pada Khamis.
Kah Woh (tengah) bersama-sama penjaja menunjukkan kenyataan akhbar MBI mengenai isu penjaja di Taman Ipoh Timur pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Lebih 10 penjaja di bahu jalan berhampiran Taman Ipoh Timur, di sini merayu kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) supaya tidak menyerahkan sepenuhnya kepada syarikat yang dilantik menentukan kadar sewaan kepada mereka.

Seorang peniaga, Norhayati Ramli, 50, berkata, penjaja di kawasan itu bimbang dikenakan caj yang amat tinggi kerana difahamkan kadar dicadangkan oleh pihak syarikat yang dilantik sebagai ejen oleh MBI itu sebanyak RM1,500.

Menurutnya, jika benar jumlah itu dikenakan kepada penjaja di situ, ia membebankan tambahan pula mereka berdepan keadaan tidak menentu akibat pandemik Covid-19.

Norhayati
Norhayati

"Pendapatan saya dengan menjual nasi lemak setiap pagi di sini tidaklah lumayan kerana usaha itu terpaksa dilakukan untuk menyara tujuh anak tambahan pula suami dah meninggal sejak dua tahun lalu.

"Kita rayu kadar sewaan ini biarlah munasabah dan janganlah aniaya kami macam ini. Biarlah kadar sewaan ini bersesuaian dengan kemudahan yang diberikan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Taman Ipoh Timur di sini pada Khamis.

Bagi seorang lagi peniaga, R Ragu, 46, tindakan pihak syarikat mengeluarkan arahan pengosongan kawasan dalam masa dua minggu agak keterlaluan tanpa perbincangan.

Menurutnya, kawasan itu sebelum ini tidak ada masalah, malah tidak mengganggu sesiapa kerana perniagaan dijalankan di atas bahu jalan.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, perlu ada kelonggaran diberikan kepada penjaja di situ untuk mencari rezeki dalam tempoh pandemik dan sebarang tindakan tidak harus dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.

R Ragu
R Ragu

Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh yang turut berada di situ mengesyorkan MBI supaya membatalkan lantikan yang dibuat terhadap syarikat berkenaan.

Menurutnya, MBI tidak perlu menyerahkan urusan sewaan tersebut kepada pihak ketiga kerana sebagai kerajaan tempatan, mereka mempunyai sumber yang cukup untuk menguruskan penjaja tersebut.

"Kita amat menyanjung usaha MBI menjalankan pemutihan terhadap penjaja yang tidak berlesen ini tetapi pada masa sama perkhidmatan sewaan tidak seharusnya diberikan kepada pihak swasta.

"Jadi batalkan sahaja perjanjian yang telah dibuat dan adakan perbincangan dengan penjaja di sini supaya isu ini dapat diselesaikan secara baik," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan MBI dalam satu kenyataan menjelaskan pihaknya telah mengeluarkan surat amaran kepada syarikat berkenaan kerana mengeluarkan notis pengosongan kawasan tersebut.

Menurutnya, hanya MBI yang boleh mengeluarkan sebarang notis selaku pemilik tanah dan pihak berkuasa tempatan.

"Pihak MBI berharap kejadian hal ini tidak berulang dan mereka perlu bertanggungjawab terhadap syarat-syarat yang ditetapkan di dalam tawaran perjanjian.

"Sekiranya berlaku lagi pelanggaran syarat-syarat ini, pihak MBI tidak akan teragak-agak untuk membatalkan perjanjian sewaan tersebut," katanya.

Menurutnya, tanah seluas 1.57 meter persegi di Jalan Perajurit, Taman Ipoh Timur itu telah diluluskan Lesen Menduduki Sementara kepada MBI dan melantik sebuat syarikat sebagai ejen pengurusan tanah tersebut secara penyewaan dengan memastikan semua peniaga di kawasan itu dikekalkan.

Jelas kenyataan itu, kadar sewa antara pihak peniaga dan syarikat berkenaan ditentukan secara persetujuan bersama oleh kedua-dua pihak.