Kerajaan jamin ruang luas kepada media untuk lapor berita

Saifuddin Abdullah - Foto Bernama
Saifuddin Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan memberi jaminan akan terus menyediakan ruang yang seluas-luasnya kepada pihak media untuk melaporkan berita selari dengan peruntukan yang sedia ada di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan Malaysia sentiasa komited dalam menyokong dan menegakkan kebebasan media di negara ini.

"Pendirian kerajaan ini juga telah dinyatakan dengan jelas dan mengiktiraf peranan penting para pengamal media dalam menjalankan fungsi dan menunaikan tanggungjawab mereka," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengambil maklum tentang Indeks Kebebasan Media 2021 yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders (Reporters Sans Frontiéres, RSF) pada 17 April (2021), yang mana Malaysia mencatat kedudukan ke-119.

Saifuddin berkata, usaha mencegah penyebaran maklumat palsu bukan bermakna menyekat kebebasan media.

Katanya, dalam era teknologi maklumat abad ke-21, media bukan sahaja berperanan menyebarkan maklumat yang telus tetapi juga melindungi masyarakat daripada penularan maklumat palsu yang boleh menggugat kestabilan dan keharmonian negara.

"Malah media di negara ini telah sekian lama menjalin usaha sama dengan kerajaan dan sentiasa proaktif membantu menyangkal maklumat palsu.

"Ketika kita sedang berjuang menghentikan pandemik Covid-19, kerajaan di serata dunia juga berhadapan dengan cabaran menangani penyebaran maklumat palsu dan memastikan berita serta informasi yang sahih dan tepat disalurkan kepada rakyat. Perkara ini amat penting terutamanya bagi usaha menyelamatkan nyawa dan menjaga keselamatan sejagat dalam krisis kesihatan yang melanda ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penguatkuasaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 mulai 12 Mac 2021 adalah khusus bagi menangani maklumat tidak benar berkaitan COVID-19 dan Proklamasi Darurat. - Bernama