KWAN tidak boleh digelar dana petroleum: Najib

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) tidak boleh digelar sebagai duit atau dana petroleum walaupun sumbangan terbesarnya adalah daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas), kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau menjelaskan, KWAN merupakan tabung amanah masa depan negara yang ditubuhkan untuk memberi sumber pendapatan berterusan dan stabil demi faedah negara serta generasi akan datang apabila sumber minyak negara habis pada masa depan.

"Dalam bahasa Inggeris, ia dikenali sebagai 'National Trust Fund' (Dana Amanah Negara).

"Matlamatnya lebih seperti Khazanah Nasional untuk membina kekayaan bagi negara tetapi perbezaan paling besar ialah Tabung KWAN tidak bayar dividen tahunan kepada kerajaan," katanya menerusi Facebook beliau pada Khamis.

Najib berkata demikian mengulas mengenai laporan media pada Rabu bahawa kerajaan telah meluluskan undang-undang untuk menggunakan dana daripada KWAN bagi perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi kebangsaan.

Ini dilakukan melalui pewartaan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara ) (Pindaan) 2021.

Menurut Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988, dana itu dibayar melalui Kumpulan Wang Disatukan dan Petronas.

Mengulas lanjut, Najib yang merupakan Ahli Parlimen Pekan berkata, segala pulangan yang diperoleh dari pelaburan dibuat KWAN tetap disimpan di dalam KWAN.

Artikel Berkaitan:

"Semasa saya Perdana Menteri, tiada pengeluaran dibuat daripada KWAN sebab ia untuk masa depan negara.

"Malah, saiz dana berkembang hampir empat kali ganda daripada RM4 bilion kepada hampir RM17 bilion pada akhir tahun 2017 dalam tempoh saya (menjadi) Perdana Menteri, sebab sumbangan dari Petronas lebih tinggi serta pulangan pelaburan tabung yang tinggi," jelas beliau.