X

Kindly register in order to view this article
!

Perseverance tukar karbon dioksida kepada oksigen di Marikh

Gambar fail menunjukkan kenderaan robotik Perseverance mengambil gambar swafoto bersama sebuah helikopter mini, Ingenuity (kiri) di Marikh. - Foto AFP
A
A

WASHINGTON - Kenderaan robotik enam roda, Perseverance berjaya menukarkan gas karbon dioksida dalam kuantiti yang kecil kepada oksigen di Marikh, kata Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) milik Amerika Syarikat (AS) pada Rabu.

"Ia merupakan langkah yang penting ketika menukarkan karbon dioksida kepada oksigen di Marikh," kata Penolong Pentadbiran NASA, Jim Reuter seperti dilaporkan oleh AFP.

Kenderaan tersebut melakukan proses menukarkan gas karbon dioksida kepada oksigen pada 20 April lalu.

Proses itu akan membantu para angkasawan untuk menghirup oksigen ketika berada di angkasa lepas pada masa depan.

Menurut Space.com, kenderaan robotik itu berjaya menggunakan instrumen Eksperimen Kepenggunaan Oksigen Marikh (MOXIE) bagi memproses karbon dioksida yang terdapat di planet tersebut untuk ditukarkan menjadi oksigen buat pertama kali.

Dikenali sebagai 'pokok mekanikal,' MOXIE berjaya memisahkan molekul-molekul karbon dioksida dalam proses untuk menghasilkan oksigen di planet tersebut.

Menurut NASA, MOXIE berjaya melakukan penukaran itu dan menghasilkan 5.4 gram oksigen yang boleh digunakan oleh seorang angkasawan untuk bernafas selama 10 minit.

Direka oleh Institut Teknologi Massachusetts, AS, MOXIE dibina dengan menggunakan bahan aloi nikel yang mampu menghadapi suhu yang tinggi. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!