Rasuah: Pesawah didenda RM10,000, penjara sehari

Seorang pesawah didenda RM10,000 dan penjara sehari oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Khamis kerana cuba merasuah seorang anggota polis sebanyak RM3,000 tiga tahun lepas.
Seorang pesawah didenda RM10,000 dan penjara sehari oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Khamis kerana cuba merasuah seorang anggota polis sebanyak RM3,000 tiga tahun lepas.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pesawah didenda RM10,000 dan dipenjara sehari oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis kerana cuba merasuah seorang pegawai polis sebanyak RM3,000 tiga tahun lepas.

Hakim Murtazadi Amran menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Ruzaini A Halim@Zakaria, 46, mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Ruzaini didakwa menawarkan suapan sebanyak RM3,000 kepada Inspektor Wan Mohd Fadilah Mat supaya tindakan undang-undang kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 tidak diambil ke atas dirinya.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Sidam Kanan, Padang Serai, di sini lebih kurang jam 5 petang pada 28 Februari 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga empat tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, Ruzaini menawarkan wang suapan selepas ditahan bersama bungkusan plastik dipercayai air ketum dan daun ketum belum rebus dalam serbuan di lokasi dan waktu sama.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh meminta kes berkenaan diselesaikan dan mengeluarkan wang tunai sebanyak RM3,000 sebagai dorongan tidak diambil tindakan terhadapnya sebelum diberi amaran dan ditahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan hanya bekerja sebagai pesawah dan tidak memiliki pendapatan tetap, selain perlu menanggung anak-anak dan ibu bapa mertuanya.

Artikel Berkaitan:

Murtazadi kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda atas pertuduhan tersebut.

Mahkamah turut membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melucut hak wang tunai RM3,000 kepada kerajaan Malaysia.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Kedah, Mohamad Fauzee Azizan.