Lelaki menyamar peguam diraja Johor ditahan

Ayob Khan
Ayob Khan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor menahan seorang peguam yang menyamar sebagai peguam istana diraja Johor di Kampung Dato' Onn, Larkin, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menahan suspek berusia 51 tahun itu pada jam 9.40 pagi.

"Tangkapan ini susulan laporan polis yang dibuat pada 31 Mac 2011 berkaitan kes penipuan menyamar sebagai peguam diraja Johor dan telah memperdaya sebuah syarikat pengiklanan di Petaling Jaya, Selangor.

"Menerusi penyamaran itu sejumlah RM185,000 dibayar kepada suspek untuk pemasangan caj papan iklan di kawasan konsesi Lebuhraya Utara Selatan dan laluan Linkedua Malaysia-Singapura," katanya pada sidang akhbar di IPK Johor, di sini pada Khamis.

Katanya, kes tersebut dibuka semula untuk siasatan selepas mendapat fakta dan bukti baharu.

Ayob Khan berkata, suspek akan dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan di Mahkamah Petaling Jaya pada Jumaat.

Menurutnya, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai 17 kes lampau berkaitan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan akta syarikat.

Dalam perkembangan lain, polis menahan dua ahli perniagaan yang menyamar sebagai kerabat diraja Johor bagi melakukan penipuan dalam penawaran projek bersih tanah tidak wujud bernilai RM2.4 juta di mukim Sekakap, Mersing pada Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua suspek telah dituduh di Mahkamah pada 9 Januari lalu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.