[DIKEMASKINI] Polis dapat notis merah Interpol berkas Nicky

Ayob Khan mengadakan sidang akhbar berhubung penahanan seorang lelaki yang menyamar sebagai peguam diraja Johor dan perkembangan kes Nicky di IPK Johor, Johor Bahru pada Khamis.
Ayob Khan mengadakan sidang akhbar berhubung penahanan seorang lelaki yang menyamar sebagai peguam diraja Johor dan perkembangan kes Nicky di IPK Johor, Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee yang disyaki mendalangi sebuah kumpulan jenayah terancang di negara ini kini berada dalam senarai individu dikehendaki dan dikenakan notis merah oleh Polis Antarabangsa (Interpol).

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kelulusan tersebut diperoleh pada Selasa dalam usaha memberkas pengasas Winner Dynasty Group itu.

"Turut dikenakan notis merah oleh Interpol ialah pembantu kepada Nicky, Niu Zhe yang merupakan seorang warga China yang dikeluarkan semalam (Rabu).

"Kita sudah mendapat notis merah bagi kedua-dua mereka," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis.

Pada 15 April lalu, polis dalam proses untuk mendapatkan notis merah bagi memohon bantuan Interpol dalam usaha menjejaki Nicky.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani memaklumkan pihaknya sudah memohon dua notis iaitu biru dan merah.

Notis biru berfungsi untuk mengesan lokasi di mana suspek berada, manakala notis merah pula membolehkan polis membuat permohonan kepada Interpol bagi memberkas suspek.

Sementara itu, Ayob turut mengesahkan tangkapan yang dibuat ke atas seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan berhubung kumpulan jenayah terancang diketuai Nicky pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pegawai berusia 40 tahun dan memegang jawatan sebagai ketua bahagian di satu jabatan di sebuah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di Kuala Lumpur itu ditahan jam 11.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota dari IPK Johor.

Namun Ayob berkata, beliau hanya dapat mengesahkan tangkapan dibuat dan tak boleh mendedahkan maklumat lanjut mengenai perkara tersebut.

"Saya hanya dapat sahkan tangkapan yang dibuat tapi tak akan mengeluarkan kenyataan kerana operasi masih berjalan," katanya.