NGO perlu kerjasama rapat dengan kerajaan, swasta

Saifuddin bergambar bersama tetamu khas dan pimpinan Gabungan Persatuan-Persatuan Tionghua Kuantan, semalam.
A
A

KUANTAN - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pihak swasta untuk bersama-sama memainkan peranan dalam pembangunan negeri dan negara.

Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sebagai sebuah negara moden, NGO sebagai masyarakat sivil ada peranan dan tanggungjawab tersendiri.

Menurutnya, sebagai sebuah negara moden, tidak ada lagi sistem di mana kerajaan tahu dan buat segala-galanya.

“Sistem yang kita lalui bawah pentadbiran PH hari ini, kita (kerajaan) tidak mengaku atau mendakwa tahu segala-galanya sebaliknya dalam sesetengah aspek, mungkin pihak lain lebih arif, misalnya golongan peniaga atau persatuan perniagaan tentu lebih arif dalam urusan perniagaan.

“Kita kena ikut sistem negara maju di mana kerajaan bukan satu-satunya pihak yang mainkan peranan sebaliknya tiga pihak ini turut ada tanggungjawabnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir sebagai tetamu khas Majlis Rumah Terbuka Sempena Tahun Baru Cina 2019 anjuran Gabungan Persatuan-Persatuan Tionghua Kuantan di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, hari ini.

Majlis disempurnakan Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Abd Rahim Muda mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 2,000 tetamu ini, Saifuddin mengumumkan bantuan RM71,000 kepada 71 persatuan di bawah Gabungan Persatuan-Persatuan Tionghua Kuantan.

Menurutnya, bantuan Ahli Parlimen RM1,000 kepada setiap persatuan itu sebagai bantuan pentadbiran.

Pada masa sama, kerajaan negeri turut mengumumkan sumbangan RM20,000 kepada gabungan ini.

Sementara itu katanya, NGO perlu bebas daripada pengaruh politik tetapi mereka perlu ambil tahu perkembangannya.

“Ini yang diamalkan persatuan ini (Gabungan Persatuan-Persatuan Tionghua Kuantan), saya suka kerana mereka ambil tahu perkembangan politik tanah air tetapi tidak terlibat atau dipengaruhi mana-mana parti politik.

“Mereka ikut perkembangan tetapi tidak campur," katanya.

Jelasnya, golongan ini juga menggalakkan ahli mengundi sebab itu hari ini, walaupun ahlinya terdiri daripada pelbagai parti politik, mereka boleh duduk semeja bersama-sama dalam program ini sebagai ahli persatuan.