Pekerja swasta ditahan bersama RM6.5 juta dadah

Razarudin (empat dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas ketika sidang akhbar di IPD Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam pada Khamis.
Razarudin (empat dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas ketika sidang akhbar di IPD Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam pada Khamis.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang pekerja swasta ditahan bersama 112 kilogram (kg) syabu dan 26.9 kg heroin base bernilai RM6.5 juta dalam dua serbuan berasingan di Permatang Pauh dan Nibong Tebal, baru-baru ini.

Serbuan bermula jam 2 petang Isnin hingga 11.30 pagi Rabu oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Pulau Pinang.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan berhampiran keretanya di Permatang Pauh di sini dipercayai untuk menghantar bekalan dadah kepada pelanggan.

Susulan penahanan suspek, beliau berkata, polis menyerbu sebuah rumah teres di Nibong Tebal yang disewa untuk dijadikan stor menyimpan bekalan dadah tersebut.

"Pemeriksaan di dalam kereta menemui sebanyak 72 ketul heroin base seberat 26.9 kg dan 20 kg syabu yang dibungkus dalam bungkusan teh herba Cina berwarna keemasan.

"Susulan itu, kita merampas sebanyak 92 bungkus syabu di sebuah rumah taman perumahan yang disewa sindiket berkenaan. Penahanan suspek dibuat selepas risikan sejak beberapa bulan lalu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di sini pada Khamis.

Razarudin (tiga dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas ketika sidang akhbar di IPD Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam pada Khamis.
Razarudin (tiga dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas ketika sidang akhbar di IPD Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam pada Khamis.

Razarudin berkata, siasatan awal mendapati suspek memperolehi bekalan dadah tersebut daripada Thailand untuk edaran tempatan dan luar negara.

Artikel Berkaitan:

"Kita masih menyiasat sama ada dadah ini turut dibekalkan ke negara jiran. Suspek merupakan salah seorang orang penting sindiket yang aktif sejak Mac lalu.

"Kita percaya sindiket ini menjadikan Pulau Pinang sebagai transit sebelum dadah ini diseludup untuk dijual di negara luar. Dadah ini boleh dibekalkan kepada 2.36 juta pengedar jika ia terlepas ke pasaran," katanya.

Tambah beliau, polis turut menyita dua buah motosikal, tiga buah kereta, seutas jam tangan jenama Tissot dan wang tunai RM600.

"Jumlah sitaan ialah RM65,000 yang mana jumlah keseluruhan sitaan dan rampasan dadah bernilai RM6.56 juta. Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencingnya juga negatif.

"Suspek direman tujuh hari sehingga 26 April. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.