Kontroversi bumi: Mufti Wilayah akan beri penerangan di Facebooknya

Zulkifli
A
A

PUTRAJAYA - Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad akan memberi penerangan mengenai kontroversi ‘bentuk Bumi’ di laman Facebook rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam masa terdekat ini.

Menurut beliau lagi, pandangan hukum terhadap sesuatu persoalan yang memerlukan kepada penjelasan syarak secara tepat bagi mengelakkan kekeliruan kepada umat Islam.

“Kita sedia maklum bentuk bumi ketika ini sedang dibahas oleh pelbagai pihak serta masing-masing memberikan pandangan mereka.

“Ada yang mengatakan ia berbentuk bulat, sfera dan ada juga mengataka bujur telur. Semua itu akan kami nyatakan dalam satu entry Bayan Linnas secara panjang lebar yang kini dalam proses untuk diselesaikan bagi menjawab persoalan dengan lebih tuntas berdasarkan Ijmak ulamak terdahulu,” katanya.

Zulkifli melakukan tahnik ke atas salah seorang bayi dalam majlis itu.
Zulkifli melakukan tahnik ke atas salah seorang bayi dalam majlis itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika hadir pada Majlis Khatam Al-Quran kali ke-40 di Masjid Putra, di sini, hari ini.

Sebelum ini, penyanyi nasyid Suhaimi Saad mendakwa Bumi berbentuk rata dan mencabar angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha untuk bersumpah dengan nama ALLAH SWT bahawa bumi berbentuk sfera.

Dr Sheikh Muszaphar dalam satu entri di Instagram kelmarin menjelaskan bumi berbentuk sfera atau bulat namun bukan seperti bola namun lebih kepada bentuk telur.

Sementara itu, kira-kira 2,000 peserta dari dalam dan luar negara mengambil bahagian dalam Majlis Khatam Al-Quran kali ke-46 itu.

Antara peserta luar negara yang menyertai majlis anjuran Persatuan Halaqah Al-Quran Selangor dengan kerjasama Pusat Pengajian Al-Quran Tahsin Tilawah Bestari dan Masjid Putra pada tahun ini adalah dari Thailand, Indonesia dan Singapura.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan acara bercukur dan tahnik melibatkan sembilan orang bayi oleh Zulkifli.

Dalam majlis sama turut diadakan penyampaian anugerah khas kepada tujuh penerima sijil hafizah 30 juzuk.

Perasmian majlis disempurnakan Imam Besar Masjid Putra, Datuk Abd Manaf Mat.