NGO gesa tangani peniaga tak berlesen di Pasar Borong Ipoh

Azrul Suhadi (tiga dari kanan) bersama wakil gabungan tersebut menunjukkan salinan memorandum yang dihantar kepada MBI di hadapan Pasar Borong Ipoh di sini pada Khamis.
Azrul Suhadi (tiga dari kanan) bersama wakil gabungan tersebut menunjukkan salinan memorandum yang dihantar kepada MBI di hadapan Pasar Borong Ipoh di sini pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Perak menggesa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tegas dalam menangani isu peniaga ais tidak berlesen serta pekerja asing di Pasar Borong Ipoh, di sini.

Wakil gabungan itu, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar berkata, pihaknya mengambil maklum terdapat permasalahan yang berlaku di Pasar Borong Ipoh itu yang memberi kesan kepada peniaga berlesen.

Menurutnya, keadaan itu memberi gambaran bahawa wujud situasi yang tidak sihat di pasar borong berkenaan dan perlu ditangani segera oleh pihak berkuasa.

"Pihak MBI harus membuat pemeriksaan bukan secara berkala tetapi secara berterusan bagi memastikan Pasar Borong Ipoh ini bebas daripada gejala yang tidak sihat termasuk pekerja asing dan juga mereka yang berniaga tanpa lesen.

"Isu ini perlu segera diselesaikan dan pihak kami juga telah melancarkan My Aduan Prihatin Penjaja yang akan memantau serta menjadi sebagai pusat sehenti bagi membolehkan maklumat disalurkan kepada kami," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di hadapan Pasar Borong Ipoh, di sini pada Khamis.

Azrul Suhadi (lima dari kiri) menyerahkan memorandum kepada Pengarah Kanan Pentadbiran dan Operasi MBI, Musa Dun di hadapan Bangunan MBI, di sini pada Khamis.
Azrul Suhadi (lima dari kiri) menyerahkan memorandum kepada Pengarah Kanan Pentadbiran dan Operasi MBI, Musa Dun di hadapan Bangunan MBI, di sini pada Khamis.

Menurutnya, melalui inisiatif yang dibuat oleh pihak gabungan tersebut, MBI diharap dapat menyelesaikan isu terbabit dengan segera bagi mengelak keadaan menjadi lebih parah serta menjadi isu perkauman.

Azrul Suhadi yang juga Setiausaha Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) berkata, satu memorandum telah dikemukan kepada Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berhubung isu berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berkaitan MBI dijangka akan mengadakan sidang akhbar pada Jumaat berhubung isu Pasar Borong Ipoh.

Isu Pasar Borong Ipoh itu mula tular beberapa hari lalu menerusi rakaman video oleh Pengerusi Amal Sejagat, Mohd Nor Izzat Mohd Johari yang mendedahkan kewujudan peniaga ais tidak berlesen di pasar tersebut.