Teruskan amalan agih bubur lambuk

Ronald (dua dari kanan) mengagihkan bubur lambuk kepada warga kerja kementeriannya sempena Ramadan di Wisma Tani, Putrajaya pada Selasa.
Ronald (dua dari kanan) mengagihkan bubur lambuk kepada warga kerja kementeriannya sempena Ramadan di Wisma Tani, Putrajaya pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengagihkan bubur lambuk kepada 1,300 penerima sebagai juadah berbuka puasa melalui Program Pengagihan Bubur Lambuk.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, program tersebut adalah amalan tradisi yang dijalankan setiap tahun kecuali pada tahun lalu ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kini amalan tersebut diteruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar Program Pengagihan Bubur Lambuk di pekarangan Wisma Tani di sini pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Timbalan Menteri Pertanian, Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Sementara itu, Ronald berkata, bubur lambuk dipilih sebagai sajian pada bulan Ramadan kerana ia sinonim dengan amalan masyarakat yang menzahirkan pemberian makanan tersebut kepada saudara-mara dan jiran tetangga.

Ahmad (kiri), Ronald (tengah) dan Che Abdullah sedang mengacau bubur lambuk di pekarangan Wisma Tani, Putrajaya pada Selasa.
Ahmad (kiri), Ronald (tengah) dan Che Abdullah sedang mengacau bubur lambuk di pekarangan Wisma Tani, Putrajaya pada Selasa.

“Satu keunikan di Malaysia, setiap kali bulan Ramadan, bubur lambuk pasti menjadi sajian wajib berbuka puasa, malah turut diagih-agihkan kepada jiran, sanak saudara dan ramai lagi,” katanya.

Menurutnya, hidangan tersebut mempunyai keistime-waan dan keunikan tersendiri kerana cara masakannya yang berlainan mengikut negeri.

Artikel Berkaitan:

“Bubur lambuk adalah hidangan yang unik daripada beras, campuran rempah ratus dan sayur-sayuran seperti pucuk paku midin,” jelasnya.

Selain itu, Ronald berkata, Program Pengagihan Bubur Lambuk merupakan amalan tradisi yang signifikan kerana ia melambangkan perpaduan dan kesepakatan menerusi makanan yang menyatukan rakyat Malaysia.

“Walaupun berbeza bangsa, budaya dan agama, namun perbezaan itu diraikan dan diterima oleh kita semua sebagai rakyat Malaysia.

Ronald (kanan), Ahmad (dua dari kiri) dan Che Abdullah (dua dari kanan) mengagihkan bubur lambuk di pekarangan Wisma Tani, Putrajaya pada Selasa.
Ronald (kanan), Ahmad (dua dari kiri) dan Che Abdullah (dua dari kanan) mengagihkan bubur lambuk di pekarangan Wisma Tani, Putrajaya pada Selasa.

“MAFI percaya dengan diplomasi makanan sebagai satu kaedah untuk kita memperkenalkan kekayaan budaya makanan Malaysia kepada dunia,” menurutnya.

Program berkenaan dianjurkan oleh MAFI bersama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Seramai 1,300 penerima bubur lambuk terdiri daripada kakitangan kementerian dan 50 pelajar Tahfiz Maahad Darul Muqri Rawang serta Maa-had Tahfiz Addirasah Seremban.