Ada 8,000 mata wang kripto di dunia

Terdapat hampir 8,000 jenis mata wang kripto pada hari ini, paling terkenal antaranya ialah bitcoin dan ethereum. Gambar hiasan 123rf. (Gambar kecil: Mohamad Fazli)
Terdapat hampir 8,000 jenis mata wang kripto pada hari ini, paling terkenal antaranya ialah bitcoin dan ethereum. Gambar hiasan 123rf. (Gambar kecil: Mohamad Fazli)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Faktor keyakinan tinggi selain mudah digunakan adalah antara ciri mata wang kripto sehingga ia menjadi begitu popular sekarang.

Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah, Jaringan Industri dan Masyarakat) Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, kripto merupakan mata wang berasaskan internet yang dihasilkan melalui teknologi blockchain atau ‘blok rantai’.

“Terdapat hampir 8,000 jenis mata wang kripto pada hari ini, paling terkenal antaranya ialah bitcoin dan ethereum.

“Mata wang tersebut boleh dimiliki dengan dua cara iaitu ‘melombong’ atau membelinya menerusi aplikasi yang diiktiraf,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, trend masa kini menunjukkan kebanyakan orang menyimpan mata wang kripto bagi tujuan pelaburan.

Ujarnya, disebabkan itu banyak scammer pelaburan mata wang kripto menggunakan peluang tersebut untuk mencari mangsa dengan menawarkan keuntungan berganda.

“Orang ramai harus tahu, pelaburan mata wang kripto ini sangat berisiko memandangkan sifatnya yang tidak menentu, menyebabkan nilainya boleh berubah-ubah dalam masa yang singkat.

“Kalau harga mata wang kripto naik, pelabur akan dapat untung yang banyak, tapi kalau jatuh, mereka juga akan rugi dengan banyak,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Ujar Mohamad Fazli lagi, seseorang yang masih serius untuk melabur dalam mata wang kripto perlu mempunyai ilmu dalam bidang berkaitan.

Langkah tersebut, katanya, bertujuan mengelakkan individu daripada kerugian dan berputih mata.