Perpaduan yang kita dambakan

Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, sudah tentu semua rakyat Malaysia harus sentiasa peka dan sensitif terhadap adat, budaya serta agama semua kaum. Gambar hiasan 123rf.
Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, sudah tentu semua rakyat Malaysia harus sentiasa peka dan sensitif terhadap adat, budaya serta agama semua kaum. Gambar hiasan 123rf.
A
A
A

“CAKAP siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.”- Peribahasa Melayu ini sangat penting untuk dijadikan pedoman dan panduan kepada semua lapisan rakyat dalam negara kita.

Peribahasa itu membawa maksud mendalam. Ia adalah satu peribahasa yang memberi peringatan dan menasihati masyarakat agar dalam memperkatakan sesuatu hal biarlah berhati-hati dan memilih tempat serta masa yang sesuai. Atau ada ketikanya tidak perlu langsung untuk kita mengeluarkan kenyataan yang kita tahu pasti akan melukakan hati sesetengah pihak, tidak kira jika dikeluarkan pada waktu siang atau malam.

Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, sudah tentu semua rakyat Malaysia harus sentiasa peka dan sensitif terhadap adat, budaya serta agama semua kaum. Sudah tentu seperti orang yang menjemput masalah, kalau kita sedia maklum akan implikasi daripada kenyataan yang akan kita keluarkan tetapi kita sebut juga.

Sekiranya kita mahu kaum lain menghormati agama, budaya, bahasa dan adat kita, kita juga perlu menghormati agama, budaya, bahasa serta adat orang lain. Selain agama, budaya, bahasa dan adat, kita juga perlu menjaga hubungan dalam konteks kelas, antara miskin dan kaya, antara orang tua dengan orang muda, antara orang di bandar dengan orang di desa.

Semua ini boleh menjadi potensi untuk menimbulkan perbalahan dan perselisihan. Memang benar seperti kata sesetengah pihak bahawa tidak ada isu yang sensitif yang kita tidak boleh timbulkan dalam negara ini tetapi kita harus sedar juga sejauh mana tahap kesediaan semua lapisan rakyat untuk bersifat terbuka.

Negara kita pada waktu ini boleh dilihat berada pada tahap di mana rata-rata rakyat berada dalam situasi diselubungi dengan pelbagai kemurungan dan kesedihan. Sama ada kerana ada ahli keluarga yang kematian akibat Covid-19 atau ahli keluarga didapati positif Covid-19 atau mungkin oleh sebab ada yang hilang pekerjaan kerana majikan terpaksa menutup perniagaan kerana tidak dapat bertahan lama semasa PKP yang baru lalu.

Dalam masa seperti ini, rakyat menjadi extra sensitif. Perkara-perkara kecil boleh menjadi isu besar kalau kita tidak sensitif dengan persekitaran.

Ambil contoh, video iklan yang tular baru-baru ini yang dibuat oleh syarikat judi online. Kandungan dalam iklan tersebut terang-terangan menunjukkan betapa tidak sensitifnya mereka yang terlibat sama dalam pembikinan iklan tersebut yang diterbitkan selepas hanya beberapa hari umat Islam mula berpuasa. Ia telah menimbulkan kemarahan ramai pihak.

Artikel Berkaitan:

Alasan bahawa perkara itu boleh dimaafkan kerana ia dihasilkan syarikat milik bukan Islam tidak dapat diterima. Semua orang sedia maklum bahawa judi haram dalam Islam. Apatah lagi lirik dalam lagu iklan itu memberi maksud bahawa dengan berjudi, masalah akan selesai dan anda boleh menyambut hari raya dengan bahagia daripada hasil judi.

Perkara yang sama berlaku di utara semenanjung melalui media sosial. Kali ini dilakukan oleh seorang pensyarah yang membuat perbandingan usaha dua wakil rakyat daripada kaum dan agama berbeza dalam membantu penunggang Grab. Saya kurang pasti apakah objektif atau matlamat akhir perbandingan kajian tersebut tetapi yang jelas perbandingan yang beliau buat telah menjemput perbalahan dan kemarahan ramai netizen.

Peringatan melalui peribahasa di atas boleh dijadikan pedoman untuk mengelakkan kita daripada melukakan hati orang lain. Apa yang berlaku di sekolah di Batu Pahat adalah peringatan baik kepada kita semua agar perkara seperti itu tidak beruang lagi.

Semoga pada bulan Ramadan ini, kita sama-sama perbaiki diri untuk menjaga kesepaduan dan keharmonian yang kita ada pada hari ini dan sama-sama berusaha memupuk perpaduan dalam negara dan mengelak sebarang pemusuhan antara kaum.

Semoga Malaysia terus aman dan harmoni.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM