Jong-un 'bersedia'

Jong-un dijangka tiba di Vietnam pada 25 Februari ini.
Jong-un dijangka tiba di Vietnam pada 25 Februari ini.
A
A
A

SEOUL - KOREA SELATAN. Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un bersedia menerima langkah 'penggantungan kekal' loji nuklear berprofil tinggi di negara itu.

Penasihat khas presiden untuk hal ehwal luar dan keselamatan negara di Seoul, Moon Chung-in berkata, usaha untuk menutup kompleks nuklear Yongbyon itu adalah matlamat yang akan dilaksanakan ketika pertemuan kedua antara Trump dan Jong-un dijadualkan di Hanoi pada 27-28 Februari ini.

"Jong-un berkata 'ya' dan akan menerima pengesahan itu. Berdasarkan pemahaman saya, Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in mendapat jaminan peribadi daripada Jong-un ketika mereka bertemu di Pyongyang pada September lalu.

"Saya berharap Trump boleh mencapai perjanjian yang mana pengesahan itu akan menjadi sebahagian daripada langkah untuk menghapuskan kemudahan nuklear di Yongbyon dan membenarkan pemeriksaan ke atas keupayaan senjata mereka," katanya.

Yongbyon pernah menjadi kemudahan utama program senjata nuklear Pyongyang yang mana reaktor dan lojinya menghasilkan plutonium mencukupi untuk penghasilan bom bagi tempoh setahun.

Peranannya semakin berkurangan selepas Pyongyang beralih kepada pengayaan uranium untuk pembangunan senjata nuklear mereka.

Beberapa sumber memaklumkan Jong-un dijangka tiba di Vietnam pada 25 Februari ini disusuli pertemuan dengan pegawai kerajaan dan mengadakan lawatan di kilang pembuatan Bac Ninh dan bandar pelabuhan perindustrian Hai Phong. - Agensi

Artikel Berkaitan: