Kemenangan untuk Black Lives Matter

Gambar Floyd menjadi mural di sekitar Minneapolis.
Gambar Floyd menjadi mural di sekitar Minneapolis.
A
A
A

PADA tengah hari Selasa lalu, seorang bekas pegawai polis Minneapolis di Amerika Syarikat (AS) yang berkulit putih, Derek Chauvin didapati bersalah oleh juri kerana menyebabkan kematian seorang lelaki berkulit hitam, George Floyd pada 25 Mei 2020.

Chauvin, 45, didapati bersalah di sebuah mahkamah di bandar raya tersebut atas semua pertuduhan yang dihadapinya iaitu pembunuhan peringkat kedua, pembunuhan peringkat ketiga dan penyebab kematian orang.

Menurut portal berita Foreign Polisi, keputusan tersebut telah menyebabkan berjuta-juta penduduk di AS boleh menarik nafas lega apabila Floyd, 46, yang lehernya dikepit selama sembilan minit dan 29 saat dengan kedua-dua tangannya bergari ketika ditahan di Minneapolis dijatuhi keputusan bersalah.

Di luar mahkamah itu, sekumpulan orang berhimpun untuk mendengar sendiri keputusan tersebut yang sebelum ini dijangkakan tidak akan menyebelahi mendiang Floyd sekali gus bakal menyebabkan AS terjerumus ke dalam ketidaktenteraman.

Namun, apabila Hakim Peter Cahill menyampaikan keputusan juri yang terdiri daripada tujuh wanita dan lima lelaki bahawa Chauvin bersalah dalam kejadian tersebut menyebabkan kira-kira 200 orang di luar mahkamah berasa gembira dan lega.

"Saya tidak mempercayainya...(Chauvin) bersalah," kata seorang penyokong kes Floyd, Lavid Mack yang pada mulanya menganggap bekas pegawai polis tersebut tidak akan didapati bersalah, lapor AFP.

Chauvin (kanan) ketika mendengar keputusan mahkamah di Minneapolis, AS.
Chauvin (kanan) ketika mendengar keputusan mahkamah di Minneapolis, AS.

Ini adalah kerana penduduk kulit hitam berasa skeptikal bahawa golongan itu mempunyai hak-hak yang sama dengan penduduk kulit putih di negara berkenaan kerana menurut portal berita The Guardian, keganasan ke atas penduduk berkulit hitam di tangan pihak berkuasa kulit putih merupakan amalan yang biasa berlaku di AS.

Artikel Berkaitan:

Kakak Floyd, LaTonya, 52, dan keluarga mendiang berasa gembira dengan keputusan tersebut.

Pada hari terakhir perbicaraan tersebut, beberapa buah kenderaan berperisai dan ribuan anggota termasuk polis dan tentera ditempatkan di pekarangan mahkamah tersebut manakala dinding konkrit dan pagar setinggi 3.04 meter didirikan di sekeliling bangunan yang menempatkan mahkamah tersebut.

Menurut akhbar Star Tribune, peningkatan tahap keselamatan itu sahaja telah menyebabkan sebanyak AS$1 juta (RM4.12 juta) diperuntukan kepada pihak Mukim Minneapolis dan Hennepin termasuk AS$420,000 (RM1.7 juta) untuk peruntukan keselamatan di mahkamah berkenaan.

Bagaimanapun, pihak mahkamah akan menjatuhkan hukuman terhadap Chauvin pada satu tarikh lain tetapi portal CNN melaporkan dia akan berdepan hukuman 40 tahun penjara kerana melakukan pembunuhan tahap kedua, dijel 25 tahun disebabkan melakukan pembunuhan tahap ketiga dan 10 tahun penjara kerana atas tuduhan pematian orang.

Pada Mac lalu, Majlis Perbandaran Minneapolis bersetuju memberikan pampasan sebanyak AS$27 juta (RM111.17 juta) kepada keluarga mendiang Floyd berhubung kes berhubung kematian lelaki berkulit hitam tersebut.

Ini adalah kerana keluarga lelaki kulit hitam itu memfailkan kes ke atas bandar raya berkenaan pada 15 Julai tahun lalu dan menuduh empat bekas pegawai majlis bandar raya tersebut melanggar hak-hak asasi manusia Floyd.

Tuntutan itu menuduh pihak majlis bandar raya tersebut menyuburkan amalan paksaan dan perbuatan tidak mengikut undang-undang berlaku dalam pasukan polis serta gagal untuk memecat pegawai-pegawai polis yang dianggap berbahaya.

Pada 25 Mei tahun lalu, Floyd membeli sebungkus rokok dari sebuah kedai di Minneapolis dan peniaga kedai berkenaan mengesyaki dia menggunakan wang palsu AS$20 (RM82.34) dan kemudiannya menghubungi polis.

Chauvin pula dipecat daripada polis sehari selepas kejadian tersebut.

Lelaki kulit hitam itu didakwa bergelut dengan anggota-anggota polis dan Chauvin menggunakan lututnya untuk mengepit leher Floyd yang meniarap tetapi satu rakaman video menunjukkan dia berkata: "Saya tidak boleh bernafas."

Dalam rakaman video itu juga, lelaki kulit hitam tersebut merayu kepada anggota polis untuk bernafas selepas dia dikepit oleh kedua-dua lutut Chauvin selama sembilan minit dan 29 saat.

Floyd yang merupakan bapa kepada enam orang anak kemudian tidak sedarkan diri dan dia dihantar ke sebuah hospital untuk mendapatkan bantuan perubatan di Minneapolis tetapi meninggal dunia pada hari yang sama.

Sejak minggu lalu, ketegangan dirasakan berlaku di bandar raya tersebut sebelum keputusan Chauvin bersalah dibuat sebulat suara dan kematian Floyd sebelum ini mencetuskan tunjuk-tunjuk perasaan tentang ketidakadilan polis terhadap penduduk kulit hitam di kebanyakan negara di dunia.

Salah satu tunjuk perasaan itu dikenali sebagai 'Live Black Matter' yang menyebabkan patung pedagang hamba abdi di Bristol, Britain, Edward Colston ditumbangkan oleh para penunjuk perasaan yang menuntut keadilan kaum ditegakkan di AS.

Perbicaraan itu menyaksikan 44 saksi memberikan keterangan selama 15 hari.

Memakai pelitup muka dan tidak menunjukkan sebarang emosi semasa keputusan dijatuhkan terhadapnya, Chauvin diiringi keluar dari bilik mahkamah oleh anggota-anggota penguat kuasa undang-undang pada Selasa lalu.

Menurut portal berita NBC, Chauvin yang sebelum ini dibebaskan atas semua pertuduhan melakukan pembunuhan Floyd dengan ikat jamin sebanyak AS$500,000 (RM2.06 juta) ditahan semula atas arahan Hakim Peter Cahill selepas disabitkan kesalahan tersebut sehingga hukumannnya dijatuhkan. - Agensi