PBS terbuka kepada kerjasama dengan Persekutuan

Datuk Seri Dr Maximus Ongkili
A
A

TAWAU - Parti Bersatu Sabah (PBS) terbuka kepada kerjasama dan hubungan kerja yang membawa manfaat terutama dengan Kerajaan Persekutuan.

Presiden parti, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili ketika mengucapkan selamat berjaya kepada Bersatu berikutan pengumuman Bersatu baru-baru ini untuk melebarkan sayapnya ke Sabah, mengulangi bahawa pendirian PBS ialah sentiasa mempromosikan parti berteraskan tempatan.

“Tiada salah bagi parti politik lain untuk menyebarkan sayapnya ke negeri ini kerana ini adalah negara demokrasi dan sesiapa sahaja boleh menubuhkan parti atau cawangan yang dibenarkan oleh ROS (Pendaftar Pertubuhan).

"Pendirian PBS ialah sentiasa mempromosikan parti berasaskan tempatan, tetapi demi perpaduan rakyat, dan kerjasama dengan persekutuan, kita akan mempertimbangkan untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan persekutuan, " katanya pada majlis makan tengah hari sempena Tahun Baharu Cina anjuran PBS Tawau, di sini, hari ini.

Ongkili, yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu, melahirkan harapan bahawa kemasukan Bersatu di Sabah tidak memecah-belahkan rakyat, tetapi sebaliknya memupuk semangat kesamaan dan melindungi hak-hak negeri.

"Hari ini, penyokong PBS masih teguh. Malah, keahlian kami semakin kukuh dalam tempoh 10 bulan yang lalu.

"Terserah kepada rakyat Sabah untuk memberi respon terhadap kemasukan Bersatu dan saya berharap parti itu tidak membawa perpecahan di kalangan rakyat Sabah," katanya.

Beliau berkata, perjuangan PBS sudah dinenali terutama dalam melindungi hak-hak Sabah, menjamin keselamatan dan membawa pembangunan yang lebih baik supaya seiring dengan kemajuan di Semenanjung. - Bernama