X

Kindly register in order to view this article
!

Tidak adil salahkan Miller

Mohd Manshahar
A
A

PENGARAH Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Dwayne Miller tidak harus dipersalahkan selepas dua jaguh 100 meter (m) pecut negara Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal Hanafi memutuskan untuk berlatih semula bersama Mohd Poad Md Kassim.

Ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata, ia juga tidak adil untuk mengatakan Miller tidak memainkan peranan dalam membantu kedua-dua atlet berkenaan mencapai semula prestasi terbaik mereka.

Malah, Mohd Manshahar menyifatkan kesan penularan pandemik Covid-19 di negara ini juga menjadi faktor penyumbang, data pelari pecut negara termasuk Khairul Hafiz dan Muhammad Haiqal di bawah Miller tidak begitu menyerlah.

Jelasnya, tiada sebarang perbalahan atau isu yang timbul antara kedua-dua pemenang pingat emas 100m pecut Sukan SEA itu dan Miller, sehingga membawa kepada keputusan kembali ke pangkuan Mohd Poad.

“Atlet itu sendiri yang menentukan hala tuju karier mereka, hak mereka untuk membuat keputusan dan saya rasa hak itu diberikan dengan baik kepada mereka,” katanya pada Rabu.

“Sepanjang mereka berlatih di sini pun tiada sebarang masalah yang timbul, malah tiada rungutan daripada mereka berdua. Hanya mungkin dari segi keserasian yang tidak dapat dicapai dalam masa yang singkat,” tambah Mohd Manshahar.

Tahun lepas, KOM membuat keputusan menempatkan Khairul Hafiz dan Muhammad Haiqal bersama semua atlet pecut elit kebangsaan secara berpusat di bawah kendalian Miller, di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil.

Sementara itu, beliau berharap kedua-dua pemenang pingat emas 100m pecut temasya Sukan SEA itu memanfaatkan peluang diberikan KOM sebaiknya, bagi meneruskan dominasi Malaysia dalam acara reben biru itu pada Sukan SEA 2021 di Vietnam, hujung tahun ini.

Mohd Manshahar optimis, Mohd Poad yang terkenal dengan kepakaran melahirkan jaguh pecut negara sudah mempunyai program dan perancangan latihan, untuk mengembalikan semula daya kepantasan dalam larian kedua-dua atlet itu.

“Poad sendiri sudah buktikan kedua-dua atlet ini atlet terbaik yang dia pernah lahirkan pada 2017 dan 2019, jadi pada saya bukan jadi satu masalah untuk beliau (Mohd Poad), membantu prestasi atlet ini,” katanya.

Khairul Hafiz yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.18 saat (s) merupakan pemenang pingat emas 100m pecut Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, sementara Muhammad Haiqal memenangi gelaran raja pecut Asia Tenggara itu pada edisi Sukan SEA 2019 di Filipina. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!