X

Kindly register in order to view this article
!

37 pelajar kolej vokasional Alor Gajah positif Covid-19

Gambar hiasan. Gambar kecil: Rahmad
A
A

MELAKA - Seramai 37 pelajar Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zin, Alor Gajah disahkan positif Covid-19.

Exco Kesihatan dan Antidadah, Datuk Rahmad Mariman berkata, kesemua mereka yang positif telah diasingkan dan dirujuk Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, kes positif dalam kalangan warga kolej itu dikesan JKN Melaka setelah menerima notifikasi kes positif seorang pelajar kolej hasil daripada saringan bergejala dan pulang dari zon merah pada Jumaat lalu.

"Susulan itu saringan segera ke atas 196 orang kontak rapat kepada kes positif terbabit yang melibatkan rakan kolej dan guru telah dijalankan.

"Sehingga hari ini (Rabu), hasil saringan mengesahkan 37 individu positif dan kesemua kontak rapat yang disaring telah diberikan arahan kuarantin serta dipakaikan gelang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, terdapat pertambahan kes pada Rabu dan penilaian seterusnya telah mengenal pasti seramai 430 kontak rapat kepada kes-kes positif yang lain dan ujian saringan Covid-19 akan dijalankan dalam masa terdekat oleh pihak kesihatan.

"Oleh itu, kolej berkenaan ditutup sementara bermula hari ini hingga 4 Mei depan dan pemantauan berterusan bagi kontak rapat kes-kes positif di blok terlibat akan diteruskan selain disinfeksi di kawasan kolej terbabit," katanya.

Katanya, orang ramai diminta mendapatkan maklumat sahih dan sebarang pertanyaan mengenai perkara tersebut boleh menghubungi Crisis Preparedness and Response Center (CPRC) Melaka di talian 06-2356999/6851 atau melalui e-mel [email protected]


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!