Tanda harga: Nasihat dulu, tindakan kemudian

Rae Morn (empat kanan) memberikan nasihat kepada seorang peniaga semasa turun membuat pemantauan di bazar Ramadan Stadium Darul Aman pada Rabu.
Rae Morn (empat kanan) memberikan nasihat kepada seorang peniaga semasa turun membuat pemantauan di bazar Ramadan Stadium Darul Aman pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menasihatkan peniaga di bazar Ramadan supaya mempamerkan tanda harga pada semua jenis barang yang dijual bagi mengelakkan dikenakan tindakan.

Pengarah KPDNHEP Kedah, Rae Morn Verak berkata, pihaknya kini dalam pelaksanaan Penguatkuasaan Prihatin dengan menyampaikan advokasi kepada peniaga bagi mewujudkan pemahaman dan pematuhan perundangan di bawah kementerian tersebut.

Menurutnya, kegagalan mempamerkan tanda harga antara kesalahan yang kerap dikesan melalui pemantauan sejak 14 April lalu.

"Kita akan memberikan khidmat nasihat dan biasanya akan dipatuhi oleh peniaga dan tempoh diberikan untuk mempamerkan tanda harga.

"Setakat ini belum ada kompaun yang dikeluarkan. Jika masih ada peniaga yang ingkar selepas tempoh diberikan mereka akan berdepan tindakan," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan pemantauan di bazar Ramadan Stadium Darul Aman pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Penguatkuasaan Prihatin yang dilancarkan pada 5 Mac hingga 30 Jun ini menjadi teras dalam penguatkuasaan untuk membantu peniaga daripada kumpulan sasar yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, fokus KPDNHEP membantu peniaga baharu yang menceburi bidang perniagaan kerana kehilangan pekerjaan, merancakkan semula ekonomi domestik serta menawarkan inisiatif penguatkuasaan baharu.

"Perundangan yang terlibat di bawah penguatkuasaan prihatin ialah seperti tanda harga barang dan caj bagi perkhidmatan, penentusahan alat timbang dan sukat, jualan murah dan menjual barang kawalan tanpa lesen," katanya.

Artikel Berkaitan: