Desak kerajaan jelaskan penamatan Skim Khairat Kematian

Kar Hing (duduk, tengah) bersama pimpinan PKR Perak ketika sidang akhbar di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Gopeng di sini pada Rabu.
Kar Hing (duduk, tengah) bersama pimpinan PKR Perak ketika sidang akhbar di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Gopeng di sini pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak mendesak kerajaan memberikan penjelasan terhadap penamatan Skim Khairat Kematian bagi penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPN).

Naib Pengerusinya, Tan Kar Hing berkata, berdasarkan semakan yang dibuat baru-baru ini, skim berkenaan telah dimansuhkan dan situasi itu dilihat membebankan rakyat kerana penerima layak mendapat RM1,000.

Menurut beliau, skim tersebut diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan menggantikan Insurans Takaful Berkelompok (i-BR1M) yang telah dilaksanakan pada tahun 2014 khusus untuk penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

"Skim ini sangat membantu meringankan beban rakyat khususnya golongan B40 dalam menguruskan ahli keluarga mereka yang meninggal dunia.

"Kita tuntut apakah rasional program ini ditamatkan tanpa dimaklumkan kepada orang ramai? Kita juga menuntut kerajaan supaya mengekalkan program ini," katanya ketika sidang akhbar di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Gopeng di sini pada Rabu.

Hadir sama, Setiausaha PKR Perak, Mohd Azlan Helmi; Timbalan Ketua Wanita PKR Perak, Sandrea Ng dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri

Kar Hing berkata, sekiranya penerima BPN meninggal dunia, waris akan berdepan kesukaran dari segi kewangan untuk menguruskan jenazah dan tindakan menghentikan bantuan secara sekali bayar itu tidak wajar.

Sementara itu, Sandrea mendesak kerajaan Perikatan Nasional lebih prihatin terhadap masalah rakyat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sebarang polisi kebajikan yang baik untuk rakyat tidak perlu dimansuhkan sesuka hati oleh kerajaan.

Penerima SKK sebelum ini dikhususkan untuk penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) kategori isi rumah dan golongan bujang berumur 60 tahun dan ke atas sahaja.