X

Kindly register in order to view this article
!

Peniaga ditahan simpan produk makanan Thailand tidak lulus KKM

Mohd Khairi (kiri) memeriksa barangan yang dirampas di rumah sewa wanita warga Thailand pada Selasa.
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Bukit Kayu Hitam menahan seorang pemilik kedai runcit warga Thailand selepas didapati menyimpan pelbagai produk makanan dari negara jiran tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Selasa.

Komander Aksem Bukit Kayu Hitam, Asisten Superintendan Mohd Khairi Abdullah berkata, serbuan ke atas rumah sewa wanita berkenaan di Kampung Perak di sini pada jam 6.15 petang berdasarkan maklumat awam.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui pelbagai jenis makanan dan minuman dari Thailand yang tidak mempunyai kelulusan daripada KKM.

"Antara barangan berkenaan adalah mi segera, bihun, sos dan lain-lain lagi yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM60,000 tidak termasuk cukai," katanya ketika sidang akhbar di Kompleks Aksem Bukit Kayu Hitam di sini pada Rabu.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, peniaga itu mengaburi mata pihak berkuasa dengan mengangkut barangan berkenaan menggunakan lori yang membawa muatan sayur dan buah.

"Suspek akan menyembunyikan barangan ini di bawah sayur dan buah-buahan bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

"Suspek juga dipercayai bertindak sebagai pemborong yang membekalkan barangan terbabit dari negara jiran kepada peniaga kedai makan di sekitar Alor Setar," katanya.

Mohd Khairi (kanan) menunjukkan antara produk makanan dan minuman yang dirampas di rumah sewa wanita warga Thailand pada Selasa.
Mohd Khairi (kanan) menunjukkan antara produk makanan dan minuman yang dirampas di rumah sewa wanita warga Thailand pada Selasa.

Mohd Khairi berkata, kes diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk disiasat di bawah Perkara 11(1) Akta Makanan 1985.

Sementara itu, dalam kes berasingan pada hari yang sama, Aksem Bukit Kayu Hitam menahan seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun yang menipu pengisytiharan barang yang dibawa dalam borang K1 Kastam.

Menurutnya, lelaki itu ditahan ketika memandu sebuah lori jenis Hino di sekatan jalan raya di Kilometer 1.1 arah Malaysia pada jam 10 malam.

"Pemeriksaan lanjut menemui sos cili dan minyak cili yang dibawa melebihi daripada jumlah yang diisytiharkan dalam borang K1 Kastam," katanya.

Katanya, kesemua barangan yang tidak diisytiharkan termasuk lori berjumlah keseluruhan RM97,160 dirampas.

"Kes ini diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!