Covid-19: 2,340 kes baharu, 11 kematian

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kes positif Covid-19 kekal melebihi 2,000 selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 2,340 kes baharu pada Rabu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif 358,726 kes.

Menurutnya, daripada jumlah kes baharu terdapat 12 kes import dan 2,328 penularan dalam negara membabitkan 2,136 warga tempatan dan 192 warga asing.

"Kes aktif di seluruh negara adalah 21,687 kes dan seramai 248 pesakit Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi termasuk 101 memerlukan bantuan pernafasan.

"Terdapat 11 kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan KKM sekaligus menjadikan jumlah kumulatifnya 1,400 kes. Kesemua pesakit merupakan warga emas berusia 61 hingga 81 tahun," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 1,910 kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 direkodkan dengan jumlah keseluruhan adalah 358,726 kes.

Mengulas lanjut mengenai penularan dalam negara, beliau berkata, Selangor kembali melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 526 kes.

"Daripada jumlah ini, 382 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat kes positif Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Sarawak melaporkan 429 kes diikuti Kelantan (370), Kuala Lumpur (291), Sabah (172), Johor (170), Pulau Pinang (111), Pahang (81), Melaka (63), Kedah (55), Perak (38) dan Negeri Sembilan (24).

"Putrajaya (enam), Labuan (dua) dan Terengganu serta Perlis masing-masing satu kes," katanya.

Sementara itu, terdapat pertambahan 11 kluster baharu yang telah dikenalpasti melibatkan empat kluster pendidikan termasuk tiga kluster sekolah atau institusi pendidikan Kementerian Pendidikan.

"Tiga kluster komuniti, dua kluster tempat kerja serta masing-masing satu kluster keagamaan dan kluster pusat tahanan turut dikesan," katanya.

Menurutnya, kluster pendidikan adalah Jalan Anggerik 21 (Johor), Pengkalan Batik (Melaka), Anggerik Cempaka (Kedah) dan Jalan Langat Ceria (Selangor).

"Kluster komuniti adalah Sungai Lemayong, Duranda Emas dan Taman Mesra Bako di Sarawak.

"Kluster tempat kerja adalah Pintasan Kampung Jawa (Pulau Pinang) dan Putra Tiga (Putrajaya). Manakala kluster pusat tahanan adalah Pagar Siput Dua ( Johor) serta kluster keagamaan dikesan di Pulau Pinang iaitu Jalan Perai Jaya," katanya.

Katanya, pertambahan kluster itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster adalah 1,552.

"Kluster yang telah diisytiharkan tamat adalah 1,209 sementara 343 kluster masih aktif," katanya.