Tawar kursus kejuruteraan satelit pertama di Malaysia

No Image Caption
A
A
A

GEORGE TOWN - Universiti Sains Malaysia (USM) dan Angkasa X Innovation Sdn Bhd (AXI) telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) untuk menawarkan kursus pengajian profesional dalam kejuruteraan satelit yang pertama di Malaysia.

Kursus yang menawarkan mod campuran iaitu kelas dan latihan praktikal di dalam makmal untuk membina satelit nano dan pengujian satelit nano itu, menyasarkan pelajar lepasan ijazah sarjana muda dan pekerja teknikal di seluruh Asia yang bertujuan meningkatkan kepakaran dan kemahiran.

Pengarah Eksekutif AXI, Datuk Dr Sean Seah berkata kerjasama di Pulau Pinang terbahagi kepada tiga fasa iaitu untuk memfokuskan pengembangan bakat, pemindahan teknologi dan membina ekosistem satelit.

“Dari segi pengembangan bakat, kami telah memilih untuk bekerjasama dengan USM bagi melatih para pensyarah dan graduan daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa untuk mempersiapkan mereka dalam jurusan kejuruteraan satelit.

“Rancangan kami adalah untuk membina satelit orbit rendah bumi atau low earth orbit (LEO) di Pulau Pinang bagi membentuk buruj ASEAN-LINK supaya dapat menangani masalah penyambungan (Internet) di kawasan-kawasan pedalaman di Asia Tenggara.

“Dari segi pemindahan teknologi, kami telah memilih tujuh kursus profesional yang akan diajar oleh pihak-pihak profesional kepada para pensyarah USM yang kemudiannya bakal dikongsi kepada graduan dan jurutera di syarikat-syarikat elektrik dan elektronik yang ingin memasuki bidang kejuruteraan satelit,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani MoA dengan USM di sini pada Rabu.

Tambah beliau, fasa ketiga yang melibatkan pembinaan ekosistem satelit seperti pembinaan stesen darat adalah untuk menyokong pengembangan aplikasi yang bakal dibangunkan.

Beliau berkata, pihak AXI telah menemui perwakilan syarikat elektrik dan elektronik di Pulau Pinang untuk bekerjasama dalam pembinaan stesen tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM, Profesor Datuk Dr Abdul Rahman Mohamed berkata, perjanjian yang dimeterai bakal melibatkan Pusat Pengajian Aeroangkasa, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik serta Pusat Pengajian Sains Komputer.

“Setakat ini tempoh perjanjian akan dilaksanakan selama lapan tahun. Para pensyarah akan mengikuti kursus bersama AXI bermula Julai ini.

“USM akan menyediakan makmal untuk meletakkan alatan-alatan yang akan dihadiahkan oleh AXI untuk kelangsungan program. Kemudian kita akan mula melihat kepada bidang penyelidikan yang akan dijalankan oleh pihak universiti sendiri,” katanya. - Bernama