Kerajaan, TNB berkongsi kesusahan rakyat: Shamsul Anuar

Shamsul Anuar (dua dari kanan) mendengar penjelasan dari Mahdzir (tengah) mengenai Projek Kampus Platinum TNB pada sesi lawatan kerja pada Selasa.
Shamsul Anuar (dua dari kanan) mendengar penjelasan dari Mahdzir (tengah) mengenai Projek Kampus Platinum TNB pada sesi lawatan kerja pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan berharap Tenaga Nasional Berhad (TNB) dapat membekalkan elektrik dengan harga berpatutan namun pada masa sama dapat meneruskan pelaburan modal baharu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pelaburan modal dengan mendapat pulangan yang setimpal boleh dikongsi dengan rakyat serta pemegang sahamnya.

"Pengalaman daripada pandemik Covid-19 jelas menunjukkan tindakan bersama kerajaan dan TNB membolehkan kita berkongsi kesusahan rakyat apabila TNB menyumbang dengan nilai amat besar.

“Kita mahu (TNB) bersama kerajaan menjaga kepentingan rakyat,” katanya yang meluangkan masa kira-kira tiga jam pada sesi lawatan kerja ke TNB di Kompleks Ibu Pejabat TNB di Bangsar pada Selasa.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar berpuas hati dengan usaha TNB mengukuhkan perbekalan elektrik negara secara berterusan di samping usaha syarikat utiliti negara itu meningkatkan perkhidmatan dan memperkasa pengguna.

Beliau turut memuji pencapaian TNB meningkatkan kualiti bekalan elektrik, antaranya Sistem Indeks Purata Tempoh Gangguan (Saidi) di Semenanjung menurun secara konsisten di bawah paras 60 minit sejak 2014 sehingga mencapai 44.95 minit tahun lalu.

Beliau bagaimanapun mahu TNB meneruskan usaha menurunkannya lagi walaupun Saidi merupakan ukuran tempoh gangguan bekalan elektrik ini antara terendah di negara-negara Asia Tenggara dan sebilangan negara membangun

“Tentunya kita nak lebih rendah daripada itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mendengar taklimat mengenai pemodenan sistem Rangkaian Pembahagian (Distribution Network) TNB yang mengambil kira keperluan rakyat pada lawatan berkenaan.

Hadir sama, Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TNB, Datuk Ir Baharin Din dan Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Stakeholder (Chief Regulatory & Stakeholder Management Officer) TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman.

Sementara itu, Mahdzir dalam ucapannya yakin TNB dengan kekuatan lebih 35,000 warga kerja di bawah pimpinan presiden dan CEO TNB mampu untuk terus melaksanakan program yang dirancang kerajaan.

Antara program berkenaan ialah meningkatkan kualiti bekalan elektrik dan peranan tenaga solar serta meningkatkan peluang pekerjaan melalui program latihan semula dan kepakaran bagi memenuhi keperluan bekalan industri tenaga.

"Lebih daripada 15,000 orang akan dilatih dalam program tersebut menjelang 2024," kata Mahdzir.