Kompaun mungkin dikenakan jika sekolah abai SOP

Abd Jalil bersama Mohammad Rosli pada Mesyuarat Permuafakatan PDRM Pahang dan JPN negeri di Kuantan pada Rabu.
Abd Jalil bersama Mohammad Rosli pada Mesyuarat Permuafakatan PDRM Pahang dan JPN negeri di Kuantan pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Tindakan kompaun mungkin akan dikenakan kepada pihak sekolah sekiranya didapati wujud kluster baharu kerana mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, perkara itu bagaimanapun masih di peringkat cadangan, namun telah bincangkan dalam mesyuarat 'task force' yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Beliau berkata, cadangan tindakan kompaun adalah jalan terakhir terpaksa diambil bagi memastikan semua pihak bertanggungjawab dalam menyekat penularan jangkitan Covid-19 termasuk di kawasan sekolah.

"Kalau boleh kita (polis) cuba untuk mengelak daripada mengeluarkan kompaun. Tapi kalau kesalahan itu berlaku depan mata, tindakan perlu juga diambil.

"Dalam keadaan (ekonomi) ketika ini, kita faham jika (kompaun) dikeluarkan, ia akan menyukarkan untuk membayar. Jadi kalau boleh elak (keluarkan kompaun), kita akan elak.

"Justeru, semua pihak terutamanya ibu bapa perlu faham dan patuh dengan SOP ditetapkan. Secara tidak langsung kita boleh pastikan tiada kluster baharu Covid-19 di sekolah-sekolah di Pahang," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Permuafakatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) negeri di sini pada Rabu.

Mesyuarat siri pertama bagi tahun 2021 disertai Pengarah Pendidikan negeri, Mohammad Rosli Abdul Rahman dan pegawai kanan daripada PDRM dan JPN Pahang.

Sementara itu, Mohammad Rosli mengingatkan semua pengetua dan guru besar di Pahang supaya mengikuti surat pekeliling dikeluarkan JPN mengenai garis panduan dan pengendalian sekolah.

Artikel Berkaitan:

Tegas beliau, arahan itu sudah jelas dan pematuhan perlu bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19 di sekolah.

"Kita juga mengharapkan kerjasama daripada ibu bapa, murid atau pelajar itu sendiri. Kalau anak ada gejala seperti batuk, demam atau selesema, tidak perlu hantar ke sekolah.

"Kita tidak mahu tercetus kluster atau masalah lain. Bukan sahaja Covid-19, penyakit lain pun mudah merebak jika kita biarkan anak yang tidak sihat datang ke sekolah," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa pihak JPN Pahang tidak akan menyembunyikan sebarang kes Covid-19 yang berlaku di sekolah di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa berkongsi maklumat mengenai perkara itu dengan Pejabat Kesihatan daerah.