Tindakan undang-undang jika masih membisu

Khoon Leng menunjukkan manual pengurusan premis penyembelihan dan pemprosesan ayam oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Khoon Leng menunjukkan manual pengurusan premis penyembelihan dan pemprosesan ayam oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
A
A
A

GEORGETOWN- Parti Gerakan Pulau Pinang tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri sekiranya masih membisu berhubung isu pembinaan pusat penyimpanan dan pengedaran ayam di Pasar Awam Batu Lanchang, di sini.

Ketua Biro Pengaduan Awam Gerakan Pulau Pinang, H'ng Khoon Leng berkata, pihaknya sudah beberapa kali menyuarakan isu itu termasuk menyerahkan memorandum namun sehingga kini belum ada maklum balas diterima.

"Kita masih menunggu maklum balas daripada kerajaan negeri khususnya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berhubung pembinaan pusat penyimpanan dan pengedaran ayam di pasar ini. Kita telah menyuarakan isu berkali-kali, tetapi masih tiada jawapan.

"Kita juga telah mengadakan demonstrasi aman dan menghantar memorandum di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) sebelum ini, tetapi kerajaan negeri dan MBPP masih tidak memberi maklum balas.

"Jika kerajaan negeri mahu pun MBPP masih membisu, kita tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang untuk membela nasib peniaga-peniaga ayam yang merasakan ditindas menerusi kaedah yang cuba diperkenalkan ini," katanya ketika ditemui di pekarangan Pasar Awam Batu Lanchang, di sini pada Rabu.

Jelasnya, penubuhan pusat itu menimbulkan persoalan serius yang perlu dijawab kerajaan negeri terutama dari segi keperluan dan kelebihan khususnya kepada peniaga-peniaga ayam.

"Peniaga ayam di sini mahu premis penyembelihan sendiri bagi menjamin bekalan ayam segar di pasar basah, bukannya pusat pengumpulan dan pengedaran seperti dirancang.

"Majoriti peniaga ayam juga menolak penubuhan pusat ini yang disifatkan sebagai satu bentuk monopoli pasaran yang boleh mengancam periuk nasi mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Khoon Leng juga mempersoalkan mengenai keluasan pusat penyimpanan dan pengedaran ayam yang didakwa melebihi daripada yang terdapat di dalam manual Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

"Pembinaan pusat itu dikatakan seluas 3,527 meter persegi dengan kos mencecah sehingga RM11 juta. Ini yang menimbulkan persoalan kerana berdasarkan manual Jabatan Perkhidmatan Veterinar, tiga kategori pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam hanya berkeluasan antara 93 atau lebih 130 meter persegi.

"Selain itu, turut menjadi persoalan adalah syarikat yang bakal mengendalikan pengedaran ayam di pusat itu didapati langsung tidak mempunyai pengalaman dalam industri tersebut sebaliknya daripada latar belakang hartanah warisan," katanya.

8 April lalu, Parti Gerakan Pulau Pinang dan Gabungan Peniaga-Peniaga Ayam Pulau Pinang menyerahkan memorandum bantahan kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berhubung isu pembekalan ayam dan penggunaan peti sejuk (chiller) yang didakwa membebankan peniaga ayam di bahagian pulau negeri ini.

Selain penyerahan memorandum bantahan di Komtar itu, lebih 30 peniaga ayam turut berkumpul secara aman bagi menyuarakan bantahan terhadap larangan aktiviti penyembelihan di premis MBPP yang akan dikuatkuasakan Jun nanti.

Khoon Leng berkata, memorandum itu diserahkan setelah pelbagai aduan dan maklum balas negatif yang diterima pihaknya daripada peniaga selepas dimaklumkan mengenai larangan aktiviti penyembelihan di premis MBPP itu.

Sebelum ini, MBPP menjelaskan tiada paksaan bagi peniaga-peniaga ayam untuk mendapatkan bekalan ayam bersih dari pusat penyimpanan dan pengedaran ayam di Batu Lancang seperti yang didakwa.

MBPP juga bersetuju menangguhkan penguatkuasaan larangan aktiviti penyembelihan di premis MBPP sehingga Mei depan bagi memberi lebih banyak masa kepada peniaga untuk melakukan persediaan.