Status kemasukan pembantu rumah asing masih samar

APS meminta agar kerajaan membuat penjelasan segera berhubung status pembukaan semula kemasukan pembantu rumah warga asing yang diumumkan pada 30 Mac lalu. - Gambar hiasan
Gambar kecil: Zubaidah Mubarruck Ali
APS meminta agar kerajaan membuat penjelasan segera berhubung status pembukaan semula kemasukan pembantu rumah warga asing yang diumumkan pada 30 Mac lalu. - Gambar hiasan Gambar kecil: Zubaidah Mubarruck Ali
A
A
A

SHAH ALAM - Agensi Pekerjaan Swasta (APS) meminta agar kerajaan membuat penjelasan segera berhubung status pembukaan semula kemasukan pembantu rumah warga asing yang diumumkan pada 30 Mac lalu.

Menurut salah seorang pemilik APS, Zubaidah Mubarruck Ali, kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan berhubung permohonan baharu itu masih samar.

"Persoalannya, bagaimana APS boleh menerima pembantu rumah warga asing tanpa pengesahan daripada kerajaan dan pihak berkaitan seperti kedutaan?

"Dengan mencari dan merekrut pembantu rumah asing ke negara ini tanpa arahan dan pengesahan adalah tidak logik.

"Sedangkan selama setahun, agensi pekerjaan swasta tidak menerima sebarang bantuan daripada kerajaan dan sekarang tiada pengesahan atau tindakan untuk memudahkan semua urusan bersangkutan seperti calling visa yang diluluskan pada 2020 masih belum selesai," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada 30 Mac lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembantu rumah warga asing yang terkandas di negara asal selepas kerajaan menutup sempadan susulan penularan wabak Covid-19 dibenarkan kembali ke Malaysia.

Syarat utama bagi kemasukan semula pekerja terbabit ialah mereka perlu mempunyai visa bekerja yang masih sah dan mendapat kebenaran Jabatan Imigresen menerusi permohonan MyTravelPass.

Mereka juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan iaitu menjalani ujian calitan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum pulang dan menjalani proses kuarantin wajib sebaik tiba di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Zubaidah berkata, banyak APS bersyukur apabila pengumuman tersebut dibuat, namun mereka hampa selepas tiada sebarang perkembangan dan tiada tindakan lanjut.

"Pada masa ini, sebarang permohonan kepada agensi negara sumber hanya boleh dilakukan setelah kerajaan mengeluarkan kenyataan rasmi. Kenyataan tersebut penting kerana ia akan memudahkan pelbagai pihak," katanya.

Selain itu, pihaknya turut mendesak agar kerajaan membenarkan calling visa yang diluluskan pada tahun lalu diproses segera melalui Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) dengan menggunakan prosedur sama supaya semua agensi berdaftar dapat melakukan proses seterusnya.

"Pada masa ini, hanya pembantu rumah yang sudah pulang dan masih mempunyai visa dibenarkan masuk menggunakan pas pelancongan. Bagaimana pula dengan prosedur dan skop kemasukan bagi calling visa tergendala dan permohonan baharu?" soal beliau.

Zubaidah turut melahirkan rasa kecewa apabila tiada sebarang bantuan diberikan kepada APS berbanding agensi pelancongan menerima bantuan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.