Atlet tidak boleh beralih angin sewenang-wenangnya

Mumtaz Jaafar
Mumtaz Jaafar
A
A
A

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) tidak akan sewenang-wenangnya memberikan kebenaran kepada atlet kebangsaan untuk beralih angin daripada program sedia ada di bawah badan induk berkenaan.

Timbalan Presiden KOM, Datuk Mumtaz Jaafar berkata, atlet olahraga kebangsaan berada dalam program atau kem latihan yang sedang berjalan tidak wajar untuk 'mengangkat kaki' tanpa sebab munasabah.

Namun, katanya KOM terlebih dahulu akan mengkaji dengan mengambil kira situasi semasa sekiranya terdapat atlet yang berhasrat untuk menjalani latihan di luar, termasuk kembali ke pangkuan bekas jurulatih masing-masing.

Mumtaz menegaskan aspek kemajuan prestasi atlet sentiasa menjadi keutamaan KOM dalam membuat sesuatu keputusan.

"Saya rasa tidak (mudah beri kebenaran), kalau ada (isu) pun kita akan bekerjasama dengan semua pihak terlibat. Kalau ikutkan di negara lain tidak boleh sebab ia kem latihan," katanya pada sidang media di Wisma OCM di sini pada Selasa.

"Jadi, KOM tidak akan benarkan atlet suka-suka ingin bertukar jurulatih tanpa alasan yang kukuh tetapi kita juga akan tengok situasi mereka," tambah beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan KOM.

Dua jaguh pecut kebangsaan Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal Hanafi minggu lalu mencuri tumpuan apabila masing-masing menyatakan hasrat untuk kembali ke pangkuan bekas jurulatih Mohd Poad Md Kassim.

Ia selepas lebih tujuh bulan kedua-dua atlet itu ditempatkan bersama semua atlet elit pecut kebangsaan di bawah Pengarah Teknikal KOM Dwayne Miller di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, sejak Ogos tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Khairul Hafiz, 22, dan Muhammad Haiqal, 21, masing-masing menyifatkan ia sebagai langkah terbaik demi kemajuan prestasi dalam tempoh jangka panjang dengan aspek keserasian yang telah terbina menjadi faktor utama.

Bagaimanapun, KOM pada Selasa bersetuju melepaskan kedua-dua pemenang pingat emas 100 meter (m) pecut Sukan SEA itu kembali bersama Mohd Poad, meskipun perancangan asalnya untuk mengekalkan mereka di Bukit Jalil sehingga Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia pada 11 hingga 13 Jun depan.

"Saya rasa mereka maklum apa KPI (Petunjuk Prestasi Utama) mereka. Kita sudah memenangi pingat emas 100m pecut dalam dua edisi Sukan SEA berturut-turut jadi saya rasa jurulatih Poad dan dua atlet tersebut tahu apa KPI mereka," jelas Mumtaz. - Bernama