Sepasang gajah liar sesat di Kem Iskandar ditangkap

Gajah liar yang ditangkap alam kawasan semak berdekatan dengan kuarters kakitangan Kem Iskandar, Mersing pada Selasa. - Foto Ihsan Perhilitan
Gajah liar yang ditangkap alam kawasan semak berdekatan dengan kuarters kakitangan Kem Iskandar, Mersing pada Selasa. - Foto Ihsan Perhilitan
A
A
A

MERSING - [DIKEMASKINI] Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor menangkap dua ekor gajah liar di Kem Iskandar di sini pada petang Selasa.

Pengarahnya, Salman Saaban berkata, tangkapan itu dibuat selepas menerima aduan daripada orang awam berhubung sekumpulan gajah yang berkeliaran di dalam kawasan hutan berhampiran kuarters kakitangan kem terbabit.

Katanya, tangkapan pertama melibatkan gajah betina dibuat pada 3.15 petang, manakala tangkapan seterusnya melibatkan gajah jantan dilakukan pada 3.45 petang dengan kedua-duanya sihat serta aktif.

“Kita menerima aduan pagi semalam yang melaporkan terdapat lima hingga 12 ekor gajah berada di dalam kawasan hutan terbabit dan dikhuatiri akan tersesat hingga ke Istana Flinstone yang terletak hanya kira-kira 1.5 kilometer dari kawasan itu.

"Menurut pengadu, gajah tersebut telah berada di kawasan itu sejak seminggu lepas dan kawalan serta cubaan menghalau telah dijalankan oleh pihak jabatan namun kumpulan gajah tersebut tidak mahu bergerak (dari kawasan itu)," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Salman berkata, kedua-dua ekor gajah liar tersebut merupakan sebahagian daripada kumpulan gajah Jemaluang yang menimbulkan konflik di sekitar kawasan Pekan Jemaluang, Felda Tenggaroh, Kampung Wak Salam dan Kampung Sri Pantai.

“Kita akan menjalankan pemantauan ke atas gajah ini sehingga dipindahkan ke habitat baharu dan hasil pemantauan pagi tadi didapati baki kumpulan gajah tersebut juga telah tiada di tempat operasi dan disyaki telah bergerak masuk ke Hutan Simpan Jemaluang yang terletak berhampiran," katanya.

Sementara itu, seorang penghuni kem tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Mat, 20-an, berterima kasih kepada Perhilitan Johor kerana bertindak pantas menangkap haiwan liar itu.

Artikel Berkaitan:

"Kita risau gajah-gajah ini terlepas ke dalam kawasan perumahan (kuarters) yang boleh mengancam keselamatan ahli keluarga selain dikhuatiri merosakkan harta benda termasuk kenderaan.

"Tindakan dan pemantauan berterusan yang dilakukan sedikit sebanyak meredakan kerisauan penghuni kuarters ini," katanya. - Bernama