X

Kindly register in order to view this article
!

2020 antara tahun paling panas direkodkan: WMO

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Tahun 2020 adalah tahun ‘bergelora’ bagi kebanyakan orang di seluruh dunia.

Cuaca melampau atau ekstrem yang digabungkan dengan pandemik Covid-19 memberi tamparan berganda kepada penduduk global.

Tidak seperti apa yang ramai percaya, kelembapan ekonomi yang berkaitan dengan pandemik tidak menghentikan pemacu perubahan iklim - menurut laporan State of the Global Climate 2020 menyusun data Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) dan rangkaian rakan kongsi.

Tahun lepas adalah satu daripada tiga tahun yang paling panas direkodkan walaupun berlaku fasa sejuk La Niña.

Suhu purata global adalah 1.2 darjah Celsius di atas paras praperindustrian (1850-1900), manakala enam tahun sejak 2015 adalah yang paling panas pernah dicatatkan.

Untuk menyebabkan suhu dunia meningkat dengan hanya 1 darjah Celsius memerlukan banyak haba - cukup mencairkan glasier, menaikkan paras laut dan menyebabkan rumah berjuta-juta orang ditenggelamkan air.

Tahun 2011 hingga 2020 adalah dekad yang paling panas direkodkan.

Oleh itu adalah tidak menghairankan ia menjejaskan pembangunan sosioekonomi, penghijrahan dan pemindahan, keselamatan makanan serta ekosistem darat dan marin di seluruh dunia.

Laporan itu juga mendokumentasikan petunjuk sistem iklim termasuk kepekatan gas rumah hijau, peningkatan suhu darat dan lautan, kenaikan paras laut, pencairan ais dan ancaman glasier dan cuaca ekstrem.

Aktiviti manusia juga menyebabkan lautan menyerap lebih daripada 90 peratus haba yang berlebihan daripadanya.

Menurut Perkhidmatan Marin Copernicus EU, tahun 2019 mencatatkan haba lautan tertinggi dan trend ini berkemungkinan berterusan hingga tahun 2020.

“Kadar pemanasan lautan sejak beberapa dekad yang lalu adalah lebih tinggi daripada purata jangka panjang, menunjukkan pengambilan haba yang berterusan terperangkap oleh gas rumah hijau,” menurutnya.

Laporan itu juga mempertimbangkan pandemik Covid-19 sebagai dimensi baharu dan tidak diingini terhadap bahaya cuaca, iklim dan air, dengan kesan gabungan yang meluas terhadap kesihatan dan kesejahteraan manusia.

“Sekatan pergerakan, kegawatan ekonomi dan gangguan kepada sektor pertanian memburukkan lagi kesan cuaca dan cuaca yang melampau sepanjang keseluruhan rantaian bekalan makanan, meningkatkan cabaran dalam kawalan keselamatan makanan dan memperlahankan penyampaian bantuan kemanusiaan.

“Pandemik ini juga mengganggu pemerhatian cuaca dan usaha pengurangan risiko bencana yang rumit,” menurut laporan itu.

Ia menambah bahawa bongkah ais di Greenland juga ‘menderita’ kerana ia terus kehilangan ais. Kira-kira 152 gigaton ais mencair dari badan ais kedua terbesar di dunia antara September 2019 dan Ogos 2020.

Setiausaha Agung WMO, Profesor Petteri Taalas berkata, adalah penting untuk menyesuaikan diri dengan trend perubahan iklim dan mencadangkan melabur dalam perkhidmatan amaran awal dan rangkaian pemerhatian cuaca untuk pemantauan lanjut.

“Beberapa negara kurang maju memiliki jurang besar dalam sistem pemerhatian mereka dan juga kekurangan teknologi canggih bagi perkhidmatan cuaca, iklim dan air,” katanya sambil menggesa negara-negara mengambil tindakan dan melakukan pelepasan sifar menjelang 2050.

“Laporan ini menunjukkan bahawa kita tidak mempunyai masa untuk membazir. Iklim berubah dan kesannya terlalu mahal untuk manusia dan dan planet ini. Ini adalah tahun untuk bertindak,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!