Polis cari tiga lelaki asing lari sekatan

Polis memburu tiga lelaki warga asing selepas melarikan diri semasa pemeriksaan polis di Bulatan Hillview Hulu Kelang, pada Isnin.
Polis memburu tiga lelaki warga asing selepas melarikan diri semasa pemeriksaan polis di Bulatan Hillview Hulu Kelang, pada Isnin.
A
A
A

AMPANG - Polis sedang memburu tiga lelaki warga asing yang melarikan diri daripada pemeriksaan di Bulatan Hillview Hulu Kelang, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek yang menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire itu memecut laju selepas ditahan anggota unit kereta peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kira-kira jam 4.15 pagi.

"Susulan itu, anggota polis terbabit telah memaklumkan hal tersebut kepada Pusat Kawalan IPD Ampang Jaya untuk bantuan.

"Kenderaan berkenaan yang menghala ke Lebuhraya MEX Putrajaya bagaimanapun terbabas di tepi jalan sebelum kesemua suspek keluar dan melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemui beberapa topeng muka warna hitam dan putih.

"Semakan mendapati ia didaftarkan atas penama warga tempatan dan tiada rekod hilang.

"Siasatan mendapati suspek disyaki warga asing dari benua Afrika itu menyewa Toyota Vellfire tersebut dari sebuah syarikat sewa kereta di Cheras. Polis masih menyiasat sama ada suspek terlibat kes jenayah," katanya.

Menurut Mohamad Farouk, polis sudah memanggil pemilik kenderaan itu untuk direkod keterangan dan kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: