Bakal Perdana Menteri perlu beri tawaran baharu buat Malaysia

Mohamad Khir Toyo
Mohamad Khir Toyo
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia memerlukan tawaran baharu daripada mana-mana pemimpin yang terlalu berhasrat memegang jawatan Perdana Menteri.

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berkata, sistem pentadbiran baharu yang segar amat diperlukan di negara ini bagi menyantuni masalah rakyat dengan lebih cepat dan mudah.

Beliau berkata, selain itu, pemimpin yang berhasrat memegang jawatan itu perlu menyatakan perancangan mereka untuk membantu negara keluar daripada pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi yang semakin tenat.

"Kantung negara sudah hampir kosong dan berapa lama kewangan ini mampu bertahan.

"Birokrasi semakin parah. Rakyat ingin tukar kerajaan dan berharap bertukarlah wajah jabatan-jabatan ini, namun yang bertukar hanya wajah menteri dan paling menyakitkan mereka semakin galak menyalahkan rakyat," katanya menerusi kemas kini di laman Facebook pada Rabu.

Dalam pada itu, mengulas mengenai proklamasi darurat, Mohamad Khir berkata, usaha bagi memendekkan tempoh pelaksanaan itu merupakan satu tindakan politik dan tidak menguntungkan rakyat.

Menurut beliau, negara telah melalui tujuh pelaksanaan darurat yang sangat berbeza dan ia dilaksanakan dengan sebab khusus serta tidak pernah dipendekkan dari masa ditetapkan.

"Lebih elok jika semua berusaha untuk memastikan supaya darurat ini tidak disambung selepas 1 Ogos depan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Barisan Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat menyerahkan surat permohonan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di pintu tiga Istana Negara pada Selasa bagi merayu untuk menamatkan darurat dalam menyelesaikan permasalahan yang berlaku.

Hadir sama pada majlis penyerahan surat itu ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil.