83 kluster libatkan sektor pendidikan

Dr Adham - Foto Bernama
Dr Adham - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Sebanyak 83 kluster Covid-19 dengan 4,868 kes positif Covid-19 melibatkan sektor pendidikan seluruh negara.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, jumlah tersebut dicatatkan dari 1 Januari sehingga Selasa.

"Daripada 83 kluster tersebut, sebanyak 49 kluster dengan 2,617 kes masih aktif," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, daripada jumlah kluster tersebut juga, sebanyak 39 kluster dengan 1,420 kes melibatkan subkategori sekolah atau institusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Sebanyak 19 kluster dengan 1,870 kes melibatkan subkategori Pendidikan Tinggi dan 25 kluster dengan 1,578 kes melibatkan subkategori pendidikan lain," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 34 kluster dengan 2,251 kes telah diisytiharkan tamat.

"KKM menyambut baik komitmen semua sektor pendidikan bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan mengikuti pembelajaran dan latihan secara berterusan dalam keadaan yang selamat," katanya.

Dr Adham turut mengingatkan semua pihak supaya sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Semua individu perlu memastikan mereka yang sihat dan tidak bergejala sahaja hadir ke tempat pembelajaran dan yang bergejala perlu segera mendapat rawatan dan pemeriksaan di fasiliti kesihatan berhampiran," katanya.

Menurutnya, pihak pengurusan institusi pendidikan dengan pelaporan jangkitan Covid-19 dalam kalangan mereka, perlu segera memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran untuk tindakan pencegahan dan kawalan.

"KKM sentiasa bekerjasama dengan semua pihak dalam sektor pendidikan bagi mencegah, mengawal dan dalam menangani penularan jangkitan," katanya.

Tambahnya, apabila KKM menerima laporan atau notifikasi kejadian kes positif, pasukan kesihatan PKD akan digerakkan untuk menjalankan siasatan, pengesanan kontak, langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan serta penilaian risiko.

"PKD akan menasihatkan pihak pengurusan pendidikan supaya pembersihan dan disinfeksi juga dijalankan," katanya.

Ujarnya, keperluan penutupan sementara kelas atau premis akan dipertimbangkan serta KPM Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan seluruh institusi pengajian dilibatkan dalam membuat keputusan.

"Hasil penilaian risiko oleh PKD bertujuan supaya langkah- langkah segera dapat diambil untuk mengelakkan penularan jangkitan," katanya.