Jurujual kereta dijel: Mengaku tipu warga emas

Tertuduh, Mohd Sahmir Dahalan, 34, dari Gong Badak, Kuala Nerus, dijatuhi hukuman 18 bulan penjara dan dikenakan tiga sebatan selepas mengaku salah menipu seorang warga emas melibatkan kerugian RM6,900
A
A

KUALA TERENGGANU - Gara-gara menipu seorang warga emas dalam urusan jual beli kereta mewah membabitkan kerugian RM6,900, seorang jurujual kereta dijatuhi hukuman 18 bulan penjara dan dikenakan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.

Keputusan dibuat selepas tertuduh, Mohd Sahmir Dahalan, 34, dari Gong Badak, Kuala Nerus, mengaku salah terhadap tiga pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdaya Puteh @ Mohd Nor Md Amin, 70, dengan menjual kereta jenis Mercedes Benz sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan wang tunai RM3,200 di hadapan sebuah rumah di Kuala Ibai, jam 3.20 petang pada 14 Disember 2018.

Selain itu, tertuduh didakwa menipu mangsa sama sehingga mendorong warga emas itu menyerahkan wang tunai RM3,000 lagi di hadapan Pejabat Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di Jalan Kubang Ikan, Chendering, jam 3 petang pada 18 Disember 2018.

Tertuduh turut didakwa menipu sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai sebanyak RM700 di hadapan gerai makan di Jalan Bukit Kecil, jam 9 pagi pada 21 Disember 2018.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan dan satu sebatan manakala hukuman 12 bulan penjara dan satu sebatan bagi pertuduhan ketiga.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli dihadapan Majistret Abdul Hayyi Salim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.