Geng curi motosikal tumpas

Afzanizar (kiri) melihat sebahagian motosikal curi yang dirampas di IPD Melaka Tengah, di Banda Hilir pada Rabu.
Afzanizar (kiri) melihat sebahagian motosikal curi yang dirampas di IPD Melaka Tengah, di Banda Hilir pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Polis berjaya melumpuhkan kegiatan sindiket curi motosikal yang aktif sejak Januari lalu dengan tertangkapnya sembilan suspek termasuk seorang remaja perempuan dalam serbuan berasingan di daerah Melaka Tengah, awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kesemua suspek berusia 14 hingga 41 tahun termasuk ketua kumpulan itu yang dikenali sebagai Apil dipercayai aktif melakukan jenayah curi motosikal di kawasan Malim, Tengkera, Batang Tiga dan Bachang hingga Februari lalu.

Menurutnya, Ops Lejang yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah turut menemukan lapan motosikal selain rangka dan casing motosikal serta sebuah kereta jenis Iswara yang dicuri dianggarkan keseluruhan bernilai RM36,000.

Katanya, kumpulan ini menggunakan modus operandi mencuri motosikal di kawasan sunyi sebelum meleraikan dan menjualnya kepada rakan atau saudara-mara terdekat.

"Hasil soal siasat mendapati 'mastermind' berusia 23 tahun itu mengaku melakukan kes curi motosikal di beberapa kawasan bersama rakan lain yang juga penganggur.

"Kita juga menahan seorang pemandu lori berusia 22 tahun yang bertindak sebagai orang tengah untuk menjual komponen yang telah dileraikan sama ada kepada bengkel motosikal atau individu," katanya pada sidang akhbar rampasan kes curi motosikal di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, di Banda Hilir, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Afzanizar berkata, dalam tempoh itu juga sebanyak 47 kes curi motosikal dilaporkan dan penahanan kumpulan itu berjaya menyelesaikan 14 kes curi motosikal.

"Kesemua suspek telah direman selama enam hari bermula 9 April lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: