Maqis gagalkan cubaan seludup udang ketak Indonesia

Udang ketak dari Indonesia yang dirampas Maqis Johor pada Isnin. - Foto Ihsan Maqis Johor
Udang ketak dari Indonesia yang dirampas Maqis Johor pada Isnin. - Foto Ihsan Maqis Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Cubaan untuk membawa masuk 70 kilogram udang ketak bernilai RM8,400 gagal apabila berjaya dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor di Pelabuhan Tanjung Pelepas, di sini pada Isnin.

Pengarahnya, Hizzuan Hasim berkata, cubaan seludup itu berjaya dikesan sewaktu pihaknya memeriksa sebuah kontena yang membawa ikan sejuk beku dari Indonesia kira-kira jam tiga petang.

"Hasil pemeriksaan rutin oleh Pegawai Penguasa Maqis di Pelabuhan Tanjung Pelepas mendapati, kontena tersebut membawa masuk pelbagai jenis ikan sejuk beku antaranya ialah udang ketak sejuk beku sebanyak 70 kilogram.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati udang ketak sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM8,400 itu telah dibawa masuk tanpa permit import," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelas beliau, kesemua udang ketak tersebut ditahan untuk tindakan lanjut dan agen penghantaran turut diambil keterangan.

Katanya, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana mengimport tanpa permit, lesen atau perakuan yang dikeluarkan di bawah akta ini.

Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

"Pihak Maqis menasihati semua pengimport dan pengeksport agar sentiasa mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan agar kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan: